Mufti kongsi beberapa kesalahan ‘biasa’ korban... pahala tak dapat, malah undang dosa - Ad-din | mStar

Mufti kongsi beberapa kesalahan ‘biasa’ korban... pahala tak dapat, malah undang dosa

Umat Islam diingatkan agar menjauhi beberapa perbuatan berkaitan ibadah korban yang bukan sahaja tidak membawa pahala, bahkan boleh mengundang dosa. Foto BERNAMA/Sekadar Hiasan

MUFTI Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan umat Islam agar menjauhi beberapa perbuatan berkaitan ibadah korban yang bukan sahaja tidak membawa pahala, bahkan boleh mengundang dosa.

Antaranya jika ada jawatankuasa masjid yang menunjukkan sikap berlumba-lumba untuk bermegah-megah kerana mampu melakukan korban lembu yang banyak tetapi menggunakan wang tabung masjid bagi tujuan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap helai bulu haiwan diberi Allah 1 kebaikan, lakukanlah ibadah korban

"Sedangkan sumbangan diberikan (oleh jemaah kepada tabung masjid adalah) untuk kegunaan masjid bukan untuk beli lembu korban," katanya ketika berucap di Masjid Alwi di Kangar, Perlis malam Khamis, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban, Ahad ini.

Asri berkata badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat juga boleh melakukan kesalahan serupa jika NGO dan wakil rakyat masing-masing menyalahgunakan wang persatuan atau wang kerajaan bagi projek pembangunan untuk membeli lembu korban.

Asri turut mengingatkan bahawa ibadah korban perlu dilakukan oleh individu dan bukan oleh persatuan dan seumpamanya.

Kesalahan lain yang berlaku, kata beliau, ialah perbuatan mengambil mana-mana bahagian daging korban yang disukai tanpa pengetahuan mereka yang melakukan ibadah korban itu. - BERNAMA 

Artikel Lain