suria

Kucing beri ‘hint’ asyik mengiau pukul 3 pagi, rupa-rupanya ada petanda di rumah baharu

Kucing Sofeah akan mengiau setiap kali pukul 3 pagi. Gambar hiasan.

SETIAP hari lebih kurang pukul 3 hingga 5.30 pagi, Sofeah Razak dan suaminya akan terjaga kerana dua ekor kucing mereka akan mengiau-ngiau tak henti-henti.

Menurut wanita berusia 35 tahun ini, dia dan suaminya sebelum ini menetap di Kuantan, namun terpaksa berpindah ke Selangor kerana tuntutan kerja.

Jelas Sofeah, dia bertuah kerana perpindahannya berjalan lancar dan mereka menyewa rumah teres dua tingkat di Puncak Alam.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak dihalau dari rumah, suami-isteri sanggup bantu... Sebulan kemudian terbongkar rahsia jahat di bilik tetamu

Dua minggu bertahan

Jelas wanita yang baharu mendirikan rumah tangga Disember lalu, dia dan suaminya turut membawa dua ekor kucing kesayangan ke rumah baharu itu.

"Dua ekor kucing ni (Tommy dan Tuti) memang sudah lama saya bela, sebelum berkahwin lagi. Mereka berdua ni dah macam anak saya sendiri.

"Jadi bila nak pindah tu, kami bawa la sekali. Mana boleh tinggal di sana (Kuantan).



Salah satu sudut rumah Sofeah yang selalu diperhatikan dua ekor kucingnya. Gambar hiasan.

"Sepanjang minggu pertama kami berada di rumah baru, memang tidak ada kejadian pelik yang berlaku. Namun masuk malam kelapan saya dan suami menjadi 'huru-hara' sewaktu tidur.

"Setiap malam, lebih kurang pukul 3 hingga 5.30 pagi, kami terjaga disebabkan bunyi bising kucing mengiau-ngiau.

"Lebih pelik lagi si Tommy dan Tuti asyik mengadap salah satu sudut ruang tamu di rumah," kongsinya kepada mStar.

Jelas Sofeah, jenuh dia memanggil dua ekor kucingnya itu masuk bilik tidur, namun kedua-duanya tetap berbuat bising dengan terus mengiau seperti berada dalam kesakitan.

Lebih pelik lagi si Tommy dan Tuti asyik mengadap sudut ruang tamu di rumah.

SOFEAH RAZAK

"Keesokannya saya membawa mereka ke klinik veterinar, namun doktor memberitahu kedua-dua kucing ni sihat sahaja.

"Pada malam seterusnya, sebelum tidur saya membawa mereka masuk bilik tidur bersama. Peliknya pada waktu yang sama, mereka tetap mengiau-giau," ujar Sofeah.

Panggil ayah

Susulan kejadian pelik itu berterusan Sofeah memutuskan untuk panggil ayahnya dari kampung agar datang ke rumah.

"Sebaik sahaja sampai, ayah terus melakukan solat sunat di rumah. Pada malamnya kami membuat sedikit majlis doa selamat dan menjemput jiran-jiran berdekatan.

"Selepas sahaja majlis tamat, ada seorang pakcik ni datang berborak dengan suami dan ayah saya.



Dua ekor kucing kesayangan Sofeah yang memberi hint tentang rumah yang didiaminya. Gambar hiasan.

"Pakcik ni jiran selang empat rumah dari kediaman kami. Dia ada beritahu rumah yang saya tinggal itu sudah lama kosong dan tidak pernah ada yang kekal lama di sini.

"Katanya ada sahaja benda pelik berlaku dan pakcik tu cakap pernah dengar wanita mengilai di tengah malam.

"Kadang-kadang terdengar bunyi bising walaupun ketika itu tidak ada penghuni," cerita Sofeah.

Pindah rumah

Selepas berborak panjang dengan jirannya itu, Sofeah dan keluarga mengambil keputusan untuk mencari rumah lain.

"Saya tidak sanggup untuk terus berjaga malam. Kucing-kucing saya pun tidak aktif seperti dulu. Tommy dan Tuti kelihatan takut sepanjang masa.

"Saya memberitahu tuan rumah mengenai perancangan kami untuk tamatkan kontrak sewa lebih awal, dan dia bersetuju malah memulangkan semula wang deposit sewa rumah.

"Mungkin dia faham situasi yang kami hadapi ini. Peliknya dia tidak bercerita panjang," akhiri Sofeah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Kucing, Mengiau, Rumah, Keras, Pindah

Artikel Lain