suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Laku keras hingga cipta rekod MBOR! Lebih 245,000 pinggan Nasi Bojari Madam Kwan’s terjual setahun... Kini megah diiktiraf Halal Jakim

Ooi (dua, kanan) ketika menerima sijil Malaysia Book of Record disampaikan Christopher (dua, kiri) bagi pencapaian Nasi Bojari yang Paling Banyak Terjual Dalam Setahun dalam majlis diadakan pada 17 Ogos.

SEBUT sahaja Madam Kwan’s, pastinya ramai terbayangkan figura ikonik wanita berkaca mata besar, bertopi comel dengan senyuman ceria.

Restoran ini juga cukup sinonim dengan pelbagai hidangan yang menepati cita rasa rakyat Malaysia.

Daripada hidangan popular seperti nasi lemak dan char kuey teow sehinggalah kepala menu ‘killer’ iaitu Nasi Bojari, jenama tempatan ini terus menjadi pilihan pelbagai generasi sejak ia ditubuhkan pada 1999.

Kini, selepas hampir tiga dekad berkongsi keenakan sajian bersama rakyat Malaysia, Madam Kwan’s yang diasaskan Kwan Swee Lian sekali lagi melakar sejarah membanggakan apabila meraikan dua pencapaian penting yang mencerminkan legasi, kepercayaan dan konsistensi jenama berkenaan.

Malah, kedua-dua pencapaian manis itu diraikan menerusi acara Two Celebrations, One Milestone yang berlangsung di cawangan Madam Kwan’s di pusat beli-belah Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Paling mencuri perhatian tentunya kejayaan Nasi Bojari yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Nasi Bojari yang Paling Banyak Terjual Dalam Setahun.

Bukan calang-calang angka, sebanyak 245,362 hidangan Nasi Bojari berjaya terjual di seluruh negara dalam tempoh satu tahun.

Nasi Bojari menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record selepas berjaya menjual 245,362 dalam tempoh setahun.

Angka luar biasa ini secara tidak langsung membuktikan betapa kuatnya tarikan hidangan ikonik tersebut yang kekal menjadi pilihan pelanggan daripada pelbagai generasi.

Malah, mStar sendiri berpeluang merasai Nasi Bojari itu pada majlis khas penerimaan anugerah MBOR dan ternyata hidangan itu sememangnya mempunyai identiti rasa tersendiri.

Nasi tiga warna yang harum itu digandingkan dengan paha ayam goreng, udang assam, rendang daging yang lembut serta telur rebus.

Gabungan lauk-pauk berkenaan menghasilkan hidangan yang cukup lengkap.

Setiap lauk memberikan letusan rasa tersendiri apabila dinikmati bersama nasi.

Bagi mStar, tidak hairanlah Nasi Bojari terus menjadi antara hidangan paling dikenali di Madam Kwan’s dan kekal mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

Kwan (tengah) membuat penampilan istimewa bagi meraikan pencapaian terbaharu Madam Kwan’s.

Resipi Puan Kwan, diinspirasikan daripada sajian gaya diraja

Di sebalik populariti Nasi Bojari, terdapat kisah warisan yang bermula daripada air tangan pengasas Madam Kwan’s sendiri.

Dicipta oleh Kwan, Nasi Bojari sebenarnya diilhamkan daripada resipi gaya diraja yang menampilkan sajian nasi tiga warna bersama lauk-pauk istimewa yang menjadi identitinya.

Menu ini kemudiannya berkembang menjadi antara hidangan paling ikonik buat Madam Kwan’s dan terus dinikmati pelanggan sejak awal penubuhan restoran berkenaan.

Pengiktirafan terbaharu daripada MBOR itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records, Christopher Wong kepada Ketua Pegawai Eksekutif Madam Kwan’s, Datin Maureen Ooi serta pengasas, Datuk Rudy Foo.

Di bawah kepimpinan Rudy Foo yang juga anak lelaki Kwan Swee Lian bersama isterinya, Maureen Ooi, Madam Kwan’s terus berkembang seiring perubahan gaya hidup pelanggan.

Turut menyerikan majlis adalah empunya nama restoran itu sendiri, Kwan Swee Lian yang kini berusia 92 tahun.

Penampilan istimewa beliau benar-benar menyuntik semangat dalam meraikan pencapaian terbaharu jenama berkenaan.

Madam Kwan's Two Celebration, One Milestone Event. —LOW LAY PHON/The Star

Dua pencapaian diperoleh Madam Kwan’s menggambarkan kejayaan perjalanan jenama itu yang dikongsi bersama rakyat Malaysia selama hampir tiga dekad. -Foto Low Lay Phon / The Star

Bukan sekadar rekod, aspek halal turut diberi perhatian

Dalam keriangan meraikan kejayaan Nasi Bojari, Madam Kwan’s turut mengumumkan satu lagi berita gembira membabitkan pensijilan Halal Jakim.

Selain dapur utamanya, sebanyak 17 cawangan Madam Kwan’s di seluruh Semenanjung Malaysia kini memperoleh pensijilan Halal.

Cawangan baharunya di AEON Tebrau, Johor pula dijangka melengkapkan pensijilan berkenaan dalam masa terdekat.

Pensijilan tersebut mengukuhkan komitmen Madam Kwan’s dalam menyediakan bahan-bahan halal berkualiti, prosedur pengendalian tepat serta mengekalkan piawaian kebersihan yang ketat sepanjang operasi.

Bagi pelanggan, ia sekali gus memberikan keyakinan lebih tinggi setiap kali menjamu selera di Madam Kwan’s.

Menurut Ooi, kedua-dua pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya ia menggambarkan perjalanan panjang jenama itu yang dikongsi bersama rakyat Malaysia selama hampir tiga dekad.

"Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini merupakan bukti sajian kegemaran sekian lama iaitu hidangan istimewa kami, Nasi Bojari manakala pensijilan Halal Jakim pula mengukuhkan keyakinan para pelanggan terhadap kami setiap hari.

"Semua pencapaian ini mencerminkan perjuangan Madam Kwan’s iaitu legasi kepercayaan dan keenakan rasa sajian kegemaran rakyat Malaysia yang terhasil melalui keaslian, konsistensi dan komitmen tanpa kompromi terhadap kualiti," katanya.

Antara rangkaian produk runcit Madam Kwan’s termasuk pes kari laksa, pes kari, pes rendang, pes sambal belacan, keropok ubi kayu dan keropok otak-otak.

Daripada sebuah restoran, kini 20 cawangan seluruh negara

Berakar daripada warisan kulinari yang diasaskan Kwan, Madam Kwan’s kini berkembang daripada sebuah restoran kepada jenama tempatan dengan 20 cawangan di seluruh negara, selain mempunyai perancangan untuk terus mengembangkan perniagaannya pada masa hadapan.

Selain menikmati hidangan di restoran, pelanggan kini boleh mendapatkan keenakan sajian Madam Kwan’s menerusi perkhidmatan penghantaran makanan.

Jenama ini juga memperluaskan rangkaian peruncitannya menerusi pelbagai produk seperti pes makanan istimewa, snek dan minuman segera pra-campuran, membolehkan pelanggan menikmati cita rasa asli Madam Kwan’s di rumah.

Produk-produk tersebut turut boleh didapati di restoran Madam Kwan’s dan kini juga tersedia menerusi platform Shopee.

Menurut Ooi, sejak awal lagi Madam Kwan’s percaya makanan yang baik mampu menyatukan masyarakat.

"Menu kami menggambarkan khazanah warisan kulinari rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, resipinya disediakan daripada hati dan disajikan dengan penuh keikhlasan.

"Meskipun kami terus berkembang, matlamat kami tetap tidak berubah iaitu untuk memelihara rasa asli yang digemari rakyat Malaysia dan mewujudkan ruang makan yang selesa di mana setiap orang boleh datang berkunjung untuk menikmati sajian makanan Malaysia yang sebenar," katanya.

Antara rangkaian minuman segera pra-campuran Madam Kwan’s yang turut membolehkan pelanggan menikmati cita rasa jenama berkenaan di rumah.

Peluang menang hadiah sehingga RM20,000

Lebih menarik, sempena meraikan dua pencapaian penting tersebut, Madam Kwan’s turut melancarkan promosi makan di restoran yang menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah bernilai sehingga RM20,000.

Promosi berkenaan berlangsung selama tiga bulan bermula September ini dan terbuka kepada orang ramai yang mengunjungi mana-mana cawangan Madam Kwan’s di Semenanjung Malaysia.

Jadi, selain berpeluang menikmati sendiri Nasi Bojari yang baru sahaja mencipta rekod Malaysia Book of Records, pelanggan juga boleh mengambil peluang menyertai promosi berkenaan.

Dengan warisan yang sudah kukuh bertahan hampir tiga dekad, dua pencapaian terbaharu ini menjadi bukti kukuh bahawa resipi yang dekat dengan selera rakyat Malaysia mampu terus relevan, malah mencipta sejarah untuk generasi seterusnya.

Artikel Lain