suria

Siapa kata Port Dickson hanya 'best' mandi pantai? Ini 8 lokasi menarik lain yang boleh anda teroka

Selain pantai, Port Dickson menawarkan banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dicuba.

PORT Dickson yang tertelak di Negeri Sembilan menjadi antara bandar pantai yang sering dikunjungi oleh orang awam, khususnya warga kota.

Ia menjadi lokasi pilihan riadah keluarga bukan sahaja kerana ia mempunyai pantai yang cantik, malah dekat dengan Lembah Klang (sekitar 60km) sekali gus membuatkan penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor memilih Port Dickson sebagai destinasi percutian hujung minggu.

Namun kebiasaannya tempat yang sering menjadi tumpuan adalah Teluk Kemang, Blue Lagoon dan Tanjung Tuan, padahal Port Dickson sebenarnya mempunyai banyak lagi lokasi menarik yang boleh diterokai.

Kesempatan mStar menyertai rombongan Tourism Malaysia ke Port Dickson baru-baru ini membuka mata tentang pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati apabila ke sana.

1. The Adventure's Web, AEON Mall Nilai

Sebelum menjejakkan kaki ke Port Dickson, apa kata singgah di Nilai terlebih dahulu.

Nilai sebenarnya bukan sahaja syurga untuk membeli langsir atau karpet tetapi ada beberapa tempat menarik lain seperti di The Adventure's Web yang terletak di AEON Mall Nilai yang menjanjikan keseronokan seisi keluarga.

Berkeluasan 2,440 meter persegi, The Adventure's Web adalah sebuah pusat interaktif dengan menawarkan tiga aktiviti utama iaitu Dinosaurs Rangers, Monster House dan Mini Science & Technology Discovery Centre.

Monster House antara yang paling menjadi tumpuan.

Paling menarik adalah Monster House yang menggabungkan 13 tema berbeza yang menyeramkan namun masih boleh diterokai oleh kanak-kanak dan remaja.

Menariknya ia bukan sekadar 'rumah hantu' sebaliknya ia turut menguji tahap keberanian dan kecekapan pengunjung dalam menyelesaikan masalah untuk keluar dari kawasan itu.

Dinosaur Rangers dan Mini Science & Technology Discovery Centre pula adalah hab sains yang sarat dengan pengetahuan namun cukup menyeronokkan untuk diterokai.

2. Pusat Ikan Hiasan Telok Kemang, Port Dickson

Ramai tidak menyedari kewujudan Pusat Ikan Hiasan yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia ini, namun masih belum terlewat untuk berkunjung ke sana selepas ini!

Ia antara destinasi yang perlu diterokai kerana di pusat itu terdapat lebih daripada 40 jenis ikan hiasan termasuk 20 jenis batu karang yang dipamerkan dalam akuarium kepada pengunjung.

Penyu antara hidupan laut yang dipamerkan di Pusat Ikan Hiasan.

Menariknya 80 peratus hidupan marin yang dipamerkan di pusat itu adalah hasil ternakan dan pembiakan di pusat itu sendiri, hasil tangkapan dari perairan Tanjung Tuan.

Tidak cukup dengan itu, Pusat Ikan Hiasan juga turut mempamerkan penyu kerah dan agar di luar bangunan dan pengunjung berpeluang melihat sendiri hidupan itu.

Pusat Ikan Hiasan itu terletak di Batu 7, Telok Kemang dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan paling penting masuk adalah percuma!

3. Muzium Tentera Darat Port Dickson

Salah satu lokasi yang perlu dilawati jika ke Port Dickson adalah Muzium Tentera Darat yang mempunyai tiga buah bangunan menempatkan tiga galeri utama.

Di muzium ini anda boleh mempelajari mengenai sejarah lengkap tentera dari zaman Kesultanan Melayu Melaka, Galeri Portugis dan Belanda, Galeri British, Galeri Penubuhan Askar Melayu, Galeri Pra Kemerdekaan, Galeri Era Kemerdekaan, Galeri Tentera Darat Hari Ini dan Galeri Sumbangan Tentera Darat.

Terowong sepanjang 142 meter antara menjadi tumpuan di Muzium Tentera Darat.

Paling menarik adalah Terowong PKM sepanjang 142 meter merentasi blok B hingga ke Kampung Hutan. Menerusi terowong itu juga pengunjung didedahkan dengan pelbagai sejarah seperti bilik bedah, ruang pengawal, pameran barang-barang dan persenjataan yang dirampas pihak PKM suatu ketika dahulu.

Manakala Pameran Luar pula pengunjung akan didedahkan dengan pelbagai jenis peralatan dan kenderaan yang pernah digunakan oleh pasukan keselamatan dan Tentera Darat.

Antara kenderaan asal yang dipamerkan.

Selain dapat mengenang perjuangan tentera di masa lalu, lawatan ke muzium itu sekali gus dapat memupuk semangat patriotik terutamanya dalam kalangan generasi muda.

4. Wild West Cowboy, Alive 3D Art Galery

Puas menerokai sejarah pahlawan negara kini tiba masanya untuk berseronok pula! Dari Muzium Tentera Darat anda boleh terus ke Segar City - Wild West Cowboy, Alive 3D Art Galery di yang terletak di Lukut.

Lebih dikenali sebagai bandar Cowboy, lokasi tersebut menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti 5D Motion Cinema, Awake Escape, Awake Thrill, Skunk Interactive Show, Arcade Games dan pelbagai lagi.

Antara cabaran menarik di Wild West Cowboy. 

Ia adalah lokasi paling sesuai untuk menghabiskan masa seisi keluarga dan sejujurnya anda akan berasa puas dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan di situ dan tidak akan sedar masa berlalu!

Di 3D Art Galery pula ia adalah tempat paling sesuai untuk kaki Instagram kerana boleh mengambil pelbagai gambar menarik.

5. Dickson Dragon Cruise

Siapa sangka di Port Dickson ada aktiviti menaiki cruise! Kalau menginap di Lexis Hibiscus atau berada berdekatan dengan hotel terkemuka itu jangan lepas peluang cuba menaiki Dickson Dragon untuk merasai pengalaman berbeza sambil melihat pemandangan indah!

Perjalanan selama satu setengah jam atau tiga jam mengikut pakej bukan sekadar belayar di lautan namun pelbagai aktiviti boleh dilakukan termasuk berkaraoke serta melihat matahari terbenam pada waktu senja.

Berenang dalam jaring antara aktiviti menarik di Dickson Dragon Cruise.

Bab makan anda jangan bimbang, semuanya disediakan malah ada aktiviti barbeku di lautan!

Pada yang suka mandi laut, jangan bimbang anda boleh cuba aktiviti berenang dalam jaring yang memberikan pengalaman luar biasa.

6. Eagle Ranch Resort

Nanti dulu! Kepada yang merancang untuk bermalam di Port Dickson mungkin boleh cuba menginap di Eagle Ranch Resort, Port Dickson yang akan membuatkan anda kagum.

Bagaikan berada di sebuah ladang cowboy di Texas, Amerika Syarikat, resort itu menawarkan pengalaman unik selain menginap dalam Log Cabins, Bandwagons, Paddock Chalet atau Red Indian Tepees.

Dorm jenis Paddock juga sesuai untuk yang datang secara berkumpulan.

Eagle Ranch Resort sesuai buat yang sukakan aktiviti luar bersama rakan-rakan atau dalam kumpulan seperti team building kerana ia turut menyediakan pelbagai aktiviti riadah seperti go kart, memanah, flying fox.

7. Lexis Hibiscus Port Dickson

Bagi yang gemarkan tempat penginapan mewah, Lexis Hibiscus adalah pilihan tepat jika ke Port Dickson.

Paling seronok setiap bilik di hotel berkenaan dilengkapi dengan kolam renang peribadi yang membolehkan anda berenang tanpa gangguan.

Pemandangan indah di luar bilik lengkap dengan kolam renang peribadi.

Tidak cukup dengan itu, puas berendam anda boleh juga memanaskan badan dalam bilik wap sambil menikmati pemandangan laut yang terbentang di depan mata.

Beberapa vila yang boleh anda pilih mengikut kesesuaian seperti Executive Pool Villa, Premium Pool Villa, Sky Pool Villa dan Panorama Pool Villa.

8. Seremban Heritage Trail

Bagi yang bergerak pulang ke arah utara, apa kata singgah sebentar ke Seremban dan merasai pengalaman berjalan kaki di Seremban Heritage Trail.

Kawasan ini terdapat beberapa bangunan ikonik yang dibina dari zaman pemerintahan British seperti Sekolah King George V, Masjid Jamek Seremban, Kuil Tam Gong dan sebagainya.

Jalan Singapura antara tarikan terbaharu di Seremban.

Menariknya, kawasan itu turut menghubungkan anda ke Jalan Singapura yang mempunyai deretan kedai-kedai lama serta mampu membuatkan anda mengimbau memori lama.

Artikel Lain