suria

Malaysia Bagus, Ada Peluang Jadi Juara - Indonesia

Bima Sakti.

PETALING JAYA: Pembantu jurulatih Indonesia, Bima Sakti menganggap Malaysia sebagai sebuah pasukan kuat dan berpeluang merangkul pingat emas acara bola sepak pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Jelas beliau, pasukan kendalian ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee itu berjaya membentuk keserasaian yang baik di atas padang.

"Kita anggap pasukan Malaysia bagus di Sukan SEA. Mereka juga satu pasukan yang ada peluang untuk jadi juara.

"Semua pemain Malaysia juga bagus kerana mereka bisa tampil sepasang semuanya. Semua harus diwaspadai," katanya pada sidang media pra perlawanan di sini, Jumaat.

Pada aksi malam Sabtu, Indonesia turun tanpa kelibat tiga tonggak utamanya iaitu Muhammad Hargianto, Hansamu Yama Pranata dan Marinus Mariyanto Wanewar yang digantung perlawanan.

Meskipun Indonesia dilihat seolah-olah merendah diri menjelang pertemuan penting itu, Kim Swee turut memuji pretasi pasukan lawan itu yang dianggap berada pada tahap terbaik ketika ini.

"Selepas tewas di tangan Malaysia pada kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok, bulan lalu, saya lihat dari satu perlawanan ke satu perlawanan mereka bermain dengan begitu baik.

"Semua perlawanan mereka tak pernah kalah. Mereka mengalahkan Mongolia, seri dengan Thailand dan sehingga peringkat kumpulan Indonesia bermain dengan cukup baik.

"Saya percaya Indonesia satu pasukan yang berbeza berbanding semasa lawan kita di Bangkok," katanya.

Mengulas mengenai ancaman Indonesia, Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya tidak mementingkan persembahan individu sebaliknya perlu beraksi secara berpasukan.

"Ada beberapa individu yang perlu diawasi tetapi saya ingin ingatkan pemain supaya bermain sebagai satu pasukan bukan pentingkan (aksi) individu. Jadi kita perlu waspada dengan semua pemain Indonesia esok," katanya.

Pertemuan antara Malaysia dan Indonesia malam Sabtu pastinya ditunggu-tunggu peminat kedua-dua buah negara dan dianggap 'aksi panas' lebih-lebih lagi selepas isu bendera negara itu dicetak terbalik dalam buku cenderamata semasa upacara pembukaan Sukan SEA, 19 Ogos lalu.

Namun isu itu sudah diselesaikan dengan baik antara kedua-dua negara.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Sukan SEA adalah pada temasya di Indonesia 2011, iaitu dua tahun selepas merangkul kejuaraan pertamanya dalam tempoh 20 tahun temasya Laos 2009.

Indonesia, Malaysia, KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain