suria

Suka-duka temasya Olimpik 2020, sayonara Tokyo!

TEMASYA Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang pada mulanya dijangka dibatalkan angkara pandemik Covid-19 akhirnya melabuhkan tirai secara rasminya malam tadi.— REUTERS.

SELEPAS berkampung selama 17 hari di bumi Jepun, temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 akhirnya melabuhkan tirai malam tadi.

Walaupun dianjurkan dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum reda, Jepun melakar sejarah tersendiri apabila disifatkan masih berjaya selaku penganjur temasya empat tahun sekali itu dalam norma baharu.

Pada edisi kali ini, pungutan pingat diungguli oleh Amerika Syarikat dengan kutipan 113 pingat keseluruhan iaitu 39 emas, 41 perak dan 33 gangsa, sekali gus mengatasi China di tempat kedua keseluruhan dengan 38 emas, 32 perak dan 88 gangsa.

Kontinjen tuan rumah, Jepun pula menamatkan saingan di tempat ketiga apabila meraih 27 emas, 14 perak dan 17 gangsa sementara kontinjen negara membawa pulang sebutir pingat perak dan gangsa menerusi Datuk Azizulhasni Awang bagi acara berbasikal trek keirin lelaki dan pasangan beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada edisi kali ini, sekali gus menduduki tempat ke-74 keseluruhan pada carta pungutan pingat.

Berdasarkan laporan dari NBC News, secara keseluruhan sukan Olimpik kali ini membawa cabaran yang berbeza dari sudut penganjuran yang bukan sahaja berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 tetapi pengurusan untuk memastikan kesihatan setiap atlet terjamin.

Oleh yang demikian, banyak persoalan telah dibangkitkan bagi mendapatkan penjelasan tentang perkara berkenaan. Bagaimanapun, pihak penganjur telah melaksanakan usaha yang terbaik untuk memastikan setiap penganjuran acara sukan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci turut dilaksanakan bagi mengelak risiko penyebaran wabak Covid-19 berlaku sepanjang temasya berlangsung. Hal ini secara tidak langsung menjadi sejarah tersendiri untuk temasya sukan Olimpik terutamanya boleh dijadikan garis panduan untuk edisi akan datang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Salah satu isu yang turut menjadi perbincangan adalah mengenai kesihatan mental atlet. Walaupun prestasi atlet yang bertanding dilihat tidak terjejas, terdapat beberapa atlet yang menjadi perbualan media susulan menarik diri dari beberapa acara yang dipertandingkan.

Salah seorang adalah bintang gimnastik Amerika Syarikat, Simone Biles. Meskipun dia berjaya meraih pingat untuk acara yang disertainya, dia bagaimanapun dilaporkan menarik diri daripada beberapa acara penting kerana ingin memberi tumpuan kepada kesihatan mentalnya.

Tiga tahun lagi, baton penganjur temasya sukan Olimpik juga akan diserahkan kepada tuan rumah seterusnya iaitu, Perancis. Cuma yang menjadi tanda-tanya, bagaimana keadaan penganjuran Olimpik di Paris 2024 memandangkan situasi dan perjuangan mendepani pandemik Covid-19 masih belum ada penyelesaian yang pasti.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

olimpik, jepun, 2020, pandemik, covid19

Artikel Lain