suria

Selepas 10 tahun, Sergio Aguero bakal angkat kaki akhir musim ini... tugu patung di Etihad tanda penghormatan City

Penyerang Manchester City, Sergio Aguero akan meninggalkan kelab pada akhir musim apabila kontraknya tamat.

SERGIO Aguero, yang menyertai Manchester City dari Atletico Madrid pada tahun 2011, merupakan pemegang rekod penjaring gol terbanyak kelab tersebut.

Pemain antarabangsa Argentina itu telah menjaringkan 257 gol dalam 384 penampilan untuk City dan akan diberi penghormatan dengan tugu patugnya akan dibina di Etihad di samping Vincent Kompany dan David Silva.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola bertemu Aguero, pada hari Isnin untuk memaklumkan kepadanya mengenai keputusan kelab untuk tidak memperbaharui perjanjiannya setelah satu musim menghabiskan banyak masa di luar, dengan kecederaan dan penyakit yang dihadapi membuat dia hanya beraksi sebanyak 14 penampilan musim ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengamuk ketika aksi menentang Serbia, Ronaldo mungkin berdepan hukuman daripada Fifa

Pemilik kelab Manchester City, Khaldoon Al Mubarak sendiri memberitahu Aquera bahawa dia akan diberi penghormatan dengan pembinaan sebuah tugu di Stadium Etihad.

Pemain berusia 32 tahun ini membantu City memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA, dan lima Piala Liga selama 10 tahun bersama kelab tersebut, dengan kelab itu masih mengejar empat kejuaraan musim ini.

Guardiola sedang memberi arahan kepada Aguero

Sebagai penjaring gol terbanyak Aguero berjaya mengatasi rekod yang dipegang Eric Brook selama 78 tahun, pada tahun 2017.

Dalam satu pernyataan, Aguero mengatakan: "Ketika kitaran hampir berakhir, banyak sensasi muncul.

"Rasa kepuasan dan kebanggaan tetap ada dalam diri saya kerana telah bermain dengan Manchester City selama sepuluh musim - perkara ini tidak biasa bagi pemain muda hari ini.

"Sepuluh musim dengan pencapaian besar, saya berjaya menjadi penjaring gol terbanyak dalam sejarah Manchester City dan menjalin ikatan yang tidak dapat dihancurkan dengan semua pihak yang menyukai kelab ini - mereka akan sentiasa ada di hati saya.

"Saya menyertai semasa era pembinaan semula kelab ini pada tahun 2011, dengan bimbingan pemilik dan sumbangan banyak pemain, kami mendapat tempat sebagai antara pasukan yang terhebat di dunia.

"Tugas untuk mengekalkan kedudukan istimewa ini akan dipikul oleh orang lain.

"Saya akan terus berusaha semaksimum mungkin untuk memenangi lebih banyak gelaran dan membawa lebih banyak kegembiraan kepada peminat.

"Seterusnya, pentas baru dengan cabaran baru akan bermula, dan saya sepenuhnya bersedia menghadapinya dengan semangat dan profesionalisme sama, yang selalu saya dedikasikan untuk terus bersaing di peringkat tertinggi," katanya.

Aguero sedang melakukan rembatan ke arah pintu gol lawan

Khaldoon Al Mubarak pula berkata: "Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa kami akan menugaskan seorang seniman untuk membuat tugu Sergio untuk dipamerkan di Stadium Etihad bersama dengan Vincent Kompany dan David Silva yang sedang dibina.

"Kami menantikan peluang untuk mengucapkan selamat tinggal pada Sergio pada akhir musim." - skysports

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain