suria

An Najwa nak raya sakan di kampung, "Dulu tangkap ayam guna tangan je, tak takut pun"

An Najwa menyambut Aidilfitri di Kedah bersama keluarga tahun ini.

SIAPA yang tidak kenal atlet tinggi lampai ini, An Najwa Azizan, penjaring utama skuad bola jaring wanita negara yang pernah merangkul pingat emas sulung semasa temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur, dua tahun lepas.

Malah, An Najwa yang sebelum ini pernah berhijrah di Australia telah melakar sejarah negara buat pertama kali dengan beraksi di liga luar negara menerusi kelab Bola Jaring Greater Western Sydney (GWS) Fury.

Bagi gadis berusia 22 tahun ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini begitu bermakna kerana dapat beraya di kampung halamannya di Jitra, Kedah selepas tahun lalu terpaksa berkorban berjauhan dengan keluarga kerana berada di Australia.

An Najwa mencipta nama sebagai pemain bola jaring pertama di luar negara. Foto: Instagram An Najwa

"Tahun lepas, keluarga datang ke Australia untuk sama-sama menyambut hari raya di sana disebabkan saya bermain dengan kelab GWS selama sembilan bulan.

"Alhamdulillah tahun ini saya dan keluarga beraya di Kedah untuk beberapa hari dan seterusnya pergi ke Langkawi untuk melancong," jelasnya kepada mStar.

Tambahnya, persiapan raya juga serba ringkas sahaja pada tahun ini memandangkan dia tidak berkesempatan menempah baju raya disebabkan jadualnya yang sibuk.

Di sebalik ketangkasan dan kelincahan gadis tinggi lampai ini, ternyata dia juga seorang yang berani apabila mengimbau kenangan raya ketika waktu kecil yang tidak dapat dilupakan sehingga sekarang.

An Najwa membantu skuad negara merangkul pingat emas Sukan SEA dua tahun lalu. Foto: Instagram An Najwa

"Waktu kecil, setiap kali balik kampung saya suka tangkap ayam guna tangan je, tak rasa takut pun, tapi bila dah makin dewasa, saya takut dengan ayam," katanya.

Mengenai perkembangan terkini skuad bola jaring wanita negara, An Najwa memberitahu pasukan negara telah mula menjalani persiapan awal bagi Sukan SEA yang bakal diadakan di Filipina pada November tahun ini.

"Kami baru sahaja selesai perlawanan di Sri lanka dan buat masa ini, kami hanya fokus pada latihan seperti biasa.

An Najwa (belakang dua kiri) bersama skuad emas bola jaring Sukan SEA 2017.

"Untuk sukan SEA di Filipina hujung tahun ini, kami juga dah mulakan latihan sebagai persiapan awal.

Anak kepada bekas pemain ragbi kebangsaan ini juga pernah dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).

An Najwa, Bola Jaring

Artikel Lain