suria

Tunjuk tabik hormat nazi ketika rai kemenangan, atlet Go-Kart Rusia terima padah

Biarpun sudah memohon maaf, Severiukhin tetap berdepan tindakan pemecatan oleh pasukan Sweden Ward Racing.

JUARA Go-Kart Rusia, Artem Severiukhin memohon maaf kerana mempamerkan tabik hormat Nazi di atas podium pada kejohanan karting Eropah pada 10 April lalu.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) kini sedang menyiasat kes tersebut dan menyifatkan ia sebagai kelakuan yang tidak boleh diterima.

ARTIKEL BERKAITAN: Gambar kontroversi tersebar... Rooney akui buat silap, mohon maaf kepada isteri dan Derby

Rakaman kejadian turut tersebar secara meluas sehingga atlet muda itu menerima kecaman teruk.

"FIA mengesahkan ia telah melancarkan siasatan segera ke atas kelakuan yang tidak boleh diterima daripada Artem Severiukhin yang berlaku semasa upacara podium pada Pusingan 1 Kejuaraan Eropah Karting FIA 2022 di Kartodromo Internacional do Algarve di Portugal.

"FIA akan memaklumkan tidak lama lagi mengenai langkah selanjutnya yang akan diambil dalam kes ini," ujar wakil FIA.

Atlet berusia 15 tahun itu menghantar permohonan maaf menerusi saluran Telegram Persekutuan Automobil Rusia.

"Saya ingin memohon maaf atas apa yang berlaku. Berdiri di atas podium, saya dikatakan membuat isyarat yang dianggap ramai sebagai tabik hormat Nazi.

"Tetapi itu tidak benar, saya tidak pernah menyokong Nazi dan menganggapnya sebagai salah satu jenayah paling dahsyat terhadap kemanusiaan.

"Saya tahu ini salah saya, saya tahu saya bodoh, dan saya bersedia untuk dihukum," ujar atlet muda itu.

Biarpun sudah memohon maaf, Severiukhin tetap berdepan tindakan pemecatan oleh pasukan Sweden Ward Racing.

"Tindakan Artem Severiukhin pada 10 April 2022 adalah tidak mewakili pandangan dan nilai ​Ward Racing dalam apa jua cara," ujar wakil pasukan itu. - Eurosport.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain