suria

Lupakan kerjaya, fokus pertahankan negara... pemain tenis jadi askar demi lawan Rusia

Dia kini ditempatkan di Kyiv dan turut dilihat meronda dengan kelengkapan tentera lengkap pada tubuhnya.

SERGIY Stakhovsky bukanlah satu nama yang asing dalam dunia tenis.

Dia pada tahun 2013 pernah menewaskan Roger Federer dalam pusingan kedua Wimbledon.

ARTIKEL BERKAITAN: Rusia isytihar perang ke atas Ukraine, apa sebenarnya sedang berlaku?

Namun, dia kini menggantung raket tenis untuk membantu negaranya, Ukraine yang berhadapan serangan Rusia.

Stakhovsky, yang bermain di Terbuka Australia Januari, kini ditempatkan di Kyiv dan dilihat meronda dengan kelengkapan tentera lengkap pada tubuhnya.

Bercakap mengenai peranannya, Stakhovsky berkata, dia bergerak dalam kumpulan tiga hingga lima orang.

"Kami mempunyai sektor di mana kami membuat rondaan. Setiap orang mempunyai syif dua jam, kemudian enam jam berehat, kemudian anda perlu keluar selama dua jam semula, sama ada siang atau tengah malam.

"Kami meronda untuk melihat jika ada ejen Rusia serta kami perlu menghalang perompak daripada menceroboh kedai.

"Jika Ukraine kalah dalam perang ini, ia akan dihapuskan dari semua buku sejarah. Ia akan hilang dari bumi sebagai sebuah negara," ujarnya.

Stakhovsky bukan satu-satunya atlet yang menangguhkan kerjaya demi negara.

Adik beradik peninju Vitaly dan Wladimir Klitschko juga kini berada di barisan hadapan pertahanan negara. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain