suria

Selepas dikecam, Arsenal kini raja derbi di kota London

AUBAMEYANG (kanan) antara yang mencetak gol buat Arsenal semasa tewaskan Spurs 3-1 dalam aksi EPL pada Ahad. —Agensi

ARSENAL terus konsisten mempamerkan kebangkitan apabila menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada Ahad, selepas dikecam berikutan persembahan hambar dalam tiga perlawanan terawal.

Kemenangan besar ke atas jiran setempat dalam derbi utara London juga menyaksikan kelab kendalian Mikel Arteta tersebut melonjak di tangga ke-10 liga dengan sembilan mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Sementara Tottenham Hotspur kendalian Nuno Espírito Santo melebarkan kekalahan The Lilywhites kepada tiga perlawanan liga selepas kali terakhir melakar kemenangan ketika menyambut Watford di Stadium Tottenham Hotspur pada 28 Ogos lalu.

Pada aksi berintensiti tinggi tersebut, The Gunners tampil garang apabila meledak tiga gol dalam babak pertama bermula dengan jaringan Emile Smith Rowe minit ke-12, Pierre-Emerick Aubameyang (27') dan Bukayo Saka (34').

Sementara The Lilywhites hanya berjaya mengurangkan defisit gol menerusi jaringan bintang sensasi Korea Selatan, Son Heung-min ketika perlawanan memasuki minit ke-79.

Keputusan di Emirates itu juga menyaksikan Espírito Santo yang melakukan debut sulung dalam derbi utara London tersebut melebarkan kekalahan apabila mencatat hanya satu kemenangan dalam 29 kunjungan ke Arsenal.

Arsenal pula melebarkan rekod bersih apabila melakar tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan selepas tewas tiga perlawanan liga awal tanpa menjaringkan sebarang gol sebelum ini.

Prestasi semasa anak buah Espírito Santo terus menjadi persoalan apabila bolos tiga gol dalam tiga perlawanan (tewas 1-3 kepada Arsenal, 0-3 kepada Chelsea, 0-3 kepada Crystal Palace) berturut-turut buat pertama kali sejak 2003.

Tottenham Hotspur selepas ini akan melayan kunjungan kelab Slovenia, Nogometna Sola Mura pada saingan peringkat kumpulan Liga Konferensi Europa pada Jumaat diikuti perlawanan liga menentang Aston Villa beberapa hari kemudian manakala Arsenal bertandang ke Stadium Komuniti American Express menentang kelab sedang meningkat naik Brighton. — BBC

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Arsenal, Spurs, Santo

Artikel Lain