suria

Piala Sudirman: Lawan England macam aksi final - Roslin Hashim

ROSLIN percaya skuad England akan menurunkan barisan pemain terkuat dan berpengalaman dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D Piala Sudirman hari ini. — Sinar Harian

AKSI menentang England pada tirai saingan Kumpulan D, kejohanan badminton Piala Sudirman di Vantaa, Finland pada Isnin, disifatkan sebagai perlawanan hidup mati skuad negara, kata bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim.

Menurutnya, ini kerana England merupakan ancaman utama dalam misi melayakkan diri ke pentas suku akhir kejohanan badminton itu.

"Pasukan negara perlu tampil menentang England dengan mentaliti perlawanan akhir.

"Saya percaya skuad England akan menurunkan barisan pemain terkuat dan berpengalaman seperti Ben Lane-Sean Vendy, Chloe Birch-Lauren Smith dan Marcus Ellis-Lauren Smith pada perlawanan awal ini," katanya.

Tambahnya lagi, England sudah tentu tidak mahu memilih jalan sukar sekiranya tewas kepada Malaysia kerana mereka perlu menang ke atas pasukan pilihan iaitu Jepun selepas ini.

Jelas Roslin lagi, sangat penting untuk pemain Malaysia memberi fokus kepada perlawanan hidup mati tersebut.

"Paling penting bekerjasama antara satu sama lain kerana ini merupakan team event," ujarnya.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir pada Piala Sudirman edisi Vantaa, Finland yang bermula 26 September hingga 3 Oktober depan.

Menyasarkan pentas suku akhir, pasukan negara membariskan pemain handalan seperti Lee Zii Jia, S. Kosina, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Malaysia dijadualkan menentang England pada Isnin diikuti Mesir pada Selasa sebelum melabuh tirai peringkat kumpulan menentang Jepun pada Khamis.— Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain