suria

Saya tidak takut ambil penalti lagi - Fernandez

FERNANDES memberi penghargaan kepada penyokong setelah wisel penamat ketika perlawanan menentang Aston Villa pada Sabtu. —Agensi

BRUNO Fernandes memberi jaminan bahawa dia akan memperbaiki sepakan penalti pada masa akan datang tanpa rasa takut atau gentar setelah tewas menentang Aston Villa.

Pemain tengah Manchester United itu melakukan tendangan melepasi palang pada saat akhir perlawanan, sekali gus menyumbang kekalahan 0-1 dalam perlawanan Liga Perdana pada Sabtu.

“Saya sekali lagi memikul tanggungjawab yang diberikan sejak menyertai United dan saya akan memikulnya semula tanpa rasa takut atau gentar apabila diminta,” katanya dalam hantaran di laman Twitter.

Kekalahan itu menyebabkan United turun ke tangga keempat liga dan menjadi kekalahan pertama Red Devils.

Pemain pertahanan, Kortney Hause telah meletakkan Villa di depan pada minit ke-88 di Old Trafford pada Sabtu, namun dia menghadiahkan sepakan penalti kepada United apabila bola terkena tangannya.

Pengadil Mike Dean tidak teragak-agak untuk menghadiahkan United sepakan penalti pertama musim ini tetapi gagal disempurnakan Bruno bagi menyelamatkan pasukannya.

Fernandes menambah: “Terima kasih atas semua sokongan anda setelah wisel penamat. Mendengar anda menyeru nama saya di stadium sangat beremosi.

"Saya akan kembali kuat untuk saya, kerana ini adalah standard yang saya pegang."

Pada masa sama, laporan menyebut bahawa tugas sepakan penalti mungkin akan ditukar selepas Cristiano Ronaldo menyertai semula United.

Meskipun tewas pada Sabtu, Fernandes masih menyimpan rekod penalti yang lebih baik di peringkat kelab, yang mana dia mempunyai kadar kejayaan 90.7 peratus, setelah memperoleh 39 dari 43 jaringan sepakan penalti.

Rakan sepasukannya dari Portugal, Ronaldo pula mempunyai kadar 85 peratus setelah menjaringkan 125 dari 147 sepakan penalti.

Kekalahan itu mengakhiri rekod tanpa kalah liga United dan ia berlaku tiga hari selepas mereka tersingkir dari Piala Carabod setelah tewas di tangan West Ham. — BBC

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain