suria

Federer semakin pulih selepas pembedahan lutut

KALI terakhir Federer beraksi di gelanggang tenis pada kejohanan All England Club di Wimbledon, Britain pada Julai lalu. — AFP

BEKAS pemain tenis nombor satu dunia, Roger Federer, 40, mengatakan bahawa dia kini sudah semakin pulih dari pembedahan lutut terbarunya.

Federer sebelum ini memberitahu dia bakal berehat untuk satu tempoh yang agak lama susulan pembedahan lutut yang dijalaninya pada bulan Ogos.

"Saya merasa benar-benar baik... keadaan tidak seperti yang saya harapkan, tetapi saya pulih dengan baik.

"Saya tidak terkesan dengan apa yang terjadi malah, merasa kuat dan bersemangat untuk apa yang akan terjadi. Saya harap saya dapat kembali ke gelanggang tenis secepat mungkin, tetapi saya harus bersabar," katanya.

Tambahnya, dia pada masa sama perlu lebih berhati-hati dan memastikan dirinya pulih sepenuhnya.

Pemain asal Switzerland itu juga pernah menjalani dua prosedur pembedahan pada tahun 2020 sebelum direhatkan selama satu tahun.

Dia kembali beraksi pada bulan Mac lalu, namun terpaksa akur dengan keadaan lututnya yang tidak mengizinkan selepas terpaksa menarik diri dari perlawanan suku akhir kejohanan All England Club di Wimbledon, Britain pada Julai.

Federer, yang berkongsi 20 rekod gelaran grand slam lelaki dengan Rafael Nadal dan Novak Djokovic, percaya bahawa pemain tenis lelaki berpeluang untuk memenangi semua kejohanan tenis sepanjang tahun.

Hal ini berikutan pemain terbaik dunia, Djokovic hampir mencapai sasaran itu namun, dia tewas kepada pemain dari Rusia, Daniil Medvedev di Final Terbuka Amerika Syarikat.

Djokovic sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menjadi orang pertama sejak 1969 yang memenangi empat gelaran grand slam tahun ini.

"Saya rasa mungkin perkara itu akan terjadi lagi.

"Saya percaya antara kami berpotensi untuk mencapai sasaran itu bagaimanapun mungkin kita perlu lebih banyak latihan, fokus dan pada masa sama nasib yang lebih baik," ujarnya. — Agensi

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Lain