suria

Kenali Emma Raducanu, bintang tenis dalam pembikinan yang jadi jutawan sekelip mata

RADUCANU dijangka raih pendapatan bernilai antara RM5.7 juta hingga RM5.7 billion. — Agensi

EMMA Raducanu bakal menjadi seorang jutawan dalam sekelip mata setelah menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat baru-baru ini.

Naib Presiden Akademi IMG, Max Eisenbud yang juga individu bertanggungjawab merekrut dan mengetengahkan pemain muda dari Great Britain dalam sukan tenis itu mendedahkan perkara berkenaan.

Eisenbud juga merupakan individu yang bertanggungjawab merekrut bekas juara Grand Slam, Maria Sharapova dan Li Na sebelum ini.

Dijangkakan, pemain berusia 18 tahun itu bakal meraih pendapatan termasuk dari segi penajaan yang secara keseluruhannya bernilai antara RM5.7 juta hingga RM5.7 billion.

Untuk rekod, pendapatan tertinggi bagi seorang atlet wanita di dunia ketika ini adalah milik bintang tenis Jepun yang juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka yang meraih pendapatan RM3.7 juta termasuk dari segi tajaan daripada Nike, Mastercard, Yonex, Louis Vuitton, Levi’s, Nissan, Tag Heur, Beats dan Panasonic.

Setakat ini, difahamkan Raducanu juga telah pun bersetuju menerima tajaan daripada syarikat gergasi pakaian sukan Nike, selain tajaan raket daripada Wilson berjumlah lebih RM500,000 selama setahun.

Jumlah tajaan berkenaan juga dijangka akan bertambah sekurang-sekurangnya buat 10 kali ganda selepas ini atau pun ia digantikan dengan tajaan daripada pihak lain.

Selain itu, jenama sukan terkemuka British, Castore yang telah pun menaja bintang tenis, Andry Murray, pasukan McLaren (Formula 1), skuad kriket England termasuk skuad bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) seeprti Wolverhampton Wanderers, Newcastle United, Queens Park Rangers (QPR) dan lain-lain juga difahamkan sedang merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Raducanu.

Selain itu jenama fesyen, automatif termasuk minuman terkemuka dunia seperti Uniqlo, Aston Martin, Chanel dan Lacoste, syarikat kewangan crypto dan firma barangan kemas, Tiffany & Co juga dikatakan berminat menaja pemain muda sensasi berkenaan.

1209424

Raducanu pada majlis peragaan Met Gala di New York, baru-baru ini. —Agensi

Malah, ketika menghadiri satu majlis peragaan kostum atau Met Gala di New York, baru-baru ini, Raducanu dilihat mengenakan busana jenama Chanel bagi acara karpet merah (red carpet), majlis berkenaan.

Dalam pada itu, satu perjanjian yang difahamkan mencecah tujuh angka antara Raducanu dengan syarikat barangan kemas, Tiffany juga sedang berjalan, yang mana syarikat berkenaan mahu menjadikan pemain berkenaan sebagai duta.

Dalam pada itu Eisenbud menegaskan, Raducanu perlu terus memastikan dirinya berjaya untuk memenangi gelaran-gelaran Grand Slam selepas ini bagi memastikan kesemua tajaan terhadapnya dapat diteruskan.

Katanya, dengan hanya satu kejayaan Grand Slam (US Open), dilihat masih belum mencukupi untuk Raducanu mengekalkan kesemua tajaan yang diterimanya buat masa ini.

“Sebagai pemain sedang meningkat naik, dia (Raducanu), perlu terus memenangi beberapa lagi gelaran Grand Slam dan yang paling hampir adalah Terbuka Australia, pada Januari depan.

“Dalam tempoh itu, dia dijangka bakal menerima tajaan lagi daripada pakaian sukan, pakaian kasual, produk kesihatan dan kecergasan,” katanya. — The Independent

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Emma Raducanu, jutawan, tenis

Artikel Berkaitan

Artikel Lain