suria

Tahniah! Cheah Liek Hou raih emas kedua buat Malaysia

Atlet badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou berjaya menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi pada aksi final badminton kategori SU5. -fotoBERNAMA

CHEAH Liek Hou melakar sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas bagi acara badminton perseorangan lelaki (SU5) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21 pada aksi final di Stadium Nasional, Yoyogi Sabtu petang.

Ia merupakan emas kedua buat Malaysia pada temasya Paralimpik kali ini setelah atlet powerlifting, Bonnie Bunyai Gustin meraih emas pertama negara, 27 Ogos lalu.

Aksi set pertama dilihat berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain saling mengejar mata untuk memenangi set berkenaan.

Bagaimanapun, jaguh badminton para negara itu menggunakan segala pengalaman yang dimiliknya untuk menewaskan Anrimusthi 21-17 dalam tempoh 22 minit.

Set kedua menyaksikan aksi lebih sengit dipamerkan kedua-dua pemain dalam usaha memburu kemenangan dan pingat emas Paralimpik pada temasya kali ini.

Seperti set pertama, kedua-dua pemain dilihat saling mengekori rapat antara satu sama lain dari segi pungutan mata.

Namun, Liek Hou sekali lagi menggunakan pengalamannya untuk memenangi set kedua 21-15 dalam tempoh 28 minit sekali gus mengesahkan pingat emas kedua buat kontinjen negara. -SINAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain