suria

Legenda sendiri pun sudah mula bosan dengan prestasi Arsenal

HATI Emmanuel Petit terasa kosong setiap kali menyaksikan perlawanan Arsenal musim ini. — AGENSI.

BEKAS bintang Arsenal, Emmanuel Petit dan Bacary Sagna mula meluahkan rasa kurang senang dengan apa yang dipersembahkan kelab itu ketika tewas 0-2 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

Pada perlawanan di Stadium Emirates itu, kedua-dua gol The Blues dijaringkan Romelu Lukaku dan Reece James.

Keputusan itu menyaksikan The Gunners tewas dalam dua aksi pembukaan EPL selepas terlebih dulu tumpas dengan jaringan sama di tangan Burnley minggu lepas, justeru Petit mendakwa perasaannya untuk terus menonton perlawanan bekas majikannya itu sudah mula hilang.

Martin Odegaard, Aaron Ramsdale, Ben White, Sambi Lokonga dan Nuno Tavares diumumkan sebagai pemain baharu Arsenal musim ini namun Petit merasakan ia tidak beri sebarang perbezaan buat kelab.

ARTIKEL BERKAITAN: Tewas dengan Chelsea, Arsenal pecah rekod 118 tahun

“Bagi saya, ia terasa seakan-akan kosong untuk menonton Arsenal buat masa sekarang,” kata Petit.

Sepanjang jendela perpindahan ketika ini, Arsenal muncul antara salah satu pasukan yang berbelanja besar namun majoriti pelaburan yang dilakukan dilihat lebih kepada pelan jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Sagna pula membangkitkan kebimbangannya terhadap kekurangan pemain senior dalam skuad Arsenal terutamanya individu yang sudah berpengalaman raih kejayaan.

“Kita mungkin memiliki pemain yang ada karakter namun mereka tidak pernah memenangi sesuatu. Hari ini kita tahu betapa mudanya mereka.

“Bagaimana kamu boleh berbelanja €150 juta (RM743.6 juta) hanya untuk mendapatkan pemain muda? Ia mungkin bagus untuk masa depan tetapi situasi sekarang juga perlu diambil kira.

“Ketika saya beraksi, semua orang begitu teruja untuk menyertai Arsenal. Sekarang kami sudah pun kehilangan DNA,” kata Sagna.

Selepas ini, satu lagi tugas mencabar buat pengurus Arsenal, Mikel Arteta apabila dijadualkan menentang juara bertahan, Manchester City hujung minggu ini.

Pada perlawanan itu nanti, The Gunners dijangka akan turun tanpa Ben White dan Alexandre Lacazette yang dijangkiti Covid-19 manakala Pierre-Emerick Aubameyang baru saja pulih.

Situasi itu terus memberikan masalah besar buat Arteta dalam membuat pilihan pemain, ketika kritikan berterusan diarahkan kepadanya tanpa henti. - Mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Arsenal, Chelsea, EPL, Petit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain