suria

Tak merungut, malah rendah diri! Cef puji Ronaldo sanggup tunggu lama untuk dapatkan meja di restoran

Ronaldo bersama teman wanita, Georgina Rodriguez dan anak mereka, Cristiano Jr merupakan pelanggan tetap Restoran Piedmontese. Foto: Instagram/Georginagio

CRISTIANO Ronaldo mungkin pemenang lima kali Ballon d'Or dan salah seorang bintang sukan paling popular di dunia, tetapi seperti kebanyakan orang biasa, dia juga kadang-kadang perlu menunggu lama untuk mendapatkan meja ketika di restoran.

Kisah bermula apabila penyerang Juventus berusia 35 tahun itu keluar makan malam pra Krismas bersama teman wanitanya, Georgina Rodriguez dan anak mereka, Cristiano Jr pada Disember 2018.

Tetapi selepas menerima panggilan dan menerima tempahan untuk tiga orang, pemilik restoran terbabit tahu keadaan pasti sesak malam itu.

Chef Davide Fiore menawarkan Ronaldo meja pada jam 9.30pm dengan harapan pelanggan lain meninggalkan restoran tepat pada masanya namun tanpa diduga bintang Portugal itu tiba awal 90 minit.

Bagaimanapun, ketiga-tiganya tidak menunjukkan sebarang rasa tidak puas hati, dan Fiore melabelkan superstar itu sebagai seorang lelaki yang baik.

"Cristiano, Georgina dan anak mereka, Cristiano Jr, tiba pukul 8.00 malam. Saya berkata kepada diri saya, 'Apa patut saya buat?'

"Untuk jalan selamat, saya meminjam meja daripada restoran bersebelahan dan meletakkannya di sudut.

"Semua pelanggan tercengang dan tidak bercakap malah tiada yang mahu bangun, mereka teruja melihat CR7.

"Jadi saya bawa Cristiano duduk di meja kecemasan tetapi masa terus berlalu dan tiada siapa meninggalkan meja. Cristiano tidak menunjukkan sebarang rasa tidak puas hati dan Georgina serta anaknya menyenanginya.

"Pada masa itu saya menyedari, walaupun Ronaldo bergelar superstar bola sepak dunia, tetapi paling penting dia tetap merendah diri dan baik hati," katanya mengimbas kembali detik yang tidak dapat dilupakannya itu.

Layanan mesra kakitangan restoran terbabit memikat hati Ronaldo dan sejak itu dia menjadi pelanggan tetap Restoran Piedmontese yang menyediakan hidangan Itali dan Mediterranean. - Thesun.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain