suria

Siapkan SOP dahulu, FAM boleh mohon kebenaran perlawanan Liga-M selepas PKPB berakhir - Ismail Sabri

Setiap negeri turut diingatkan agar tidak mengeluarkan SOP sendiri dalam isu itu.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh membuat permohonan rayuan kepada kerajaan untuk kebenaran perlawanan Liga Malaysia sejurus berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kelak.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, timbul isu yang perlu diberi perhatian sekaligus menyebabkan ia masih tidak dibenarkan sehingga hari ini.

"Ada dua isu, penonton memang tak boleh sebab kita tak benarkan perhimpunan. Sukan itu sendiri ada dua kategori. Seperti badminton, dua individu tanpa kontak fizikal.

"Bola ada kontak fizikal, bertembung sesama mereka. Badan berpeluh, pertembungan fizikal bahaya kepada pemain.

"Selepas PKPB berakhir, FAM boleh merayu kepada kita untuk memberikan kebenaran kepada mereka... tapi tarikh tertakluk kepada perbincangan," ujarnya pada Ahad.

Dalam tempoh yang tersisa sekarang, Ismail memberi saranan agar mereka menyediakan prosedur operasi standard (SOP) terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun katanya, ia masih lagi samar memandangkan dia sendiri tidak tahu bila PKPB akan berakhir.

"PKPB dijadualkan tamat pada 9 Jun, tapi kita tak tahu akan sambung atau tidak, sebagaimana fasa-fasa PKP sebelum ini.

"Mereka boleh sediakan SOP lebih awal, rayuan serta SOP yang mereka bangunkan. InsyaAllah saya akan bincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican," ujarnya lagi.

Dalam sidang media sama, Ismail mengingatkan agar tiada mana-mana negeri mengeluarkan SOP sendiri dalam isu itu.

Ujarnya, segala keputusan berhubung kebenaran perlawanan bola akan diputuskan kerajaan dan MKN di peringkat pusat sahaja.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain