suria

Jackie dijangka boleh pulang selepas lebih 70 hari dirawat positif Covid-19

Jackie dijangka akan discaj daripada hospital dalam tempoh terdekat.

JACKIE Wong boleh menarik nafas lega apabila dijangka dibenarkan discaj dari Hospital Sibu, Sarawak dalam masa terdekat.

Atlet baling tukul besi berusia 28 tahun itu dimasukkan ke hospital selepas didapati positif Covid-19 pada 16 Mac lalu namun selepas lebih 70 hari menerima rawatan, beliau masih didapati positif dalam beberapa ujian yang dibuat sekali gus terpaksa kekal di wad.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut bahawa pesakit boleh didiscaj sekiranya telah menerima rawatan melebihi 14 hari.

“Apa yang penting sekarang ini mengikut pihak WHO ialah mungkin ujian positif itu dikesan oleh PCR (Polymerase Chain Reaction) pada hari ke-13, yang masih positif, iaitu serpihan virus RNA (Ribonucleic acid) pun akan jadi positif juga.

“Jadi apabila laksanakan ujian, ujian itu masih positif. Tetapi persoalannya adakah mereka ini masih boleh menjangkiti? Kebolehanjangkitan itu masih ada tapi mengikut laporan WHO, kalau mereka telah melepasi tempoh 14 hari, kebolehjangkitan adalah sifar.

"Dengan maklumat terbaharu yang kita dapati, walaupun PCR adalah positif selepas 14 hari, kita boleh discajkan pesakit tersebut. Ini adalah tindakan atau makluman terbaharu yang kita dapati dan (kita) akan mengubah protokol dalam menguruskan pesakit-pesakit positif,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Jackie merupakan pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak 68.22 meter yang dicatatkan pada Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Ogos tahun lepas, yang merupakan kali ke-18 beliau memecahkan rekod bagi acara itu.

Dia merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2011 hingga 2015 sebelum meraih emas pada edisi 2017 di Malaysia.

Bagaimanapun, pada edisi lalu di Filipina, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Di peringkat Asia, Jackie menamatkan saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia di tempat ketujuh dengan 65.92 meter selain pencapaian tempat kelapan dalam Kejohanan Asia 2017 dan 2019. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Jackie Wong, Baling Tukul, Covid-19

Artikel Lain