suria

“Tinggalkan Arsenal adalah keputusan paling sukar dalam hidup saya” - Oxlade-Chamberlain

Oxlade-Chamberlain akui sedih ketika meninggalkan Arsenal.

PEMAIN tengah Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain mendedahkan bahawa keputusan paling sukar pernah dibuatnya adalah ketika meninggalkan Arsenal pada Ogos 2017 dengan yuran perpindahan sebanyak £40 juta (RM218 juta).

Liverpool dan Arsenal merupakan kelab yang mempunyai kebolehan teknikal yang sama pada waktu itu, namun ia ternyata satu keputusan yang baik dilakukan oleh Oxlade-Chamberlain.

Di bawah kendalian Jurgen Klopp, The Reds muncul juara Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu dan juga bakal dinobatkan sebagai juara EPL pada musim ini sebaik saingan liga bersambung.

Sementara itu, semenjak penghijrahan Oxlade-Chamberlain, Arsenal gagal menduduki tangga empat teratas serta tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan.

Bercakap mengenai perpindahannya, pemain kebangsaan England itu memberitahu bahawa dia meninggalkan Arsenal bukan disebabkan gagal menjulang piala.

"Saya tidak yakin bahawa saya dapat bermain di posisi sebenar saya.

"Semestinya memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah merupakan impian semua pemain tetapi itu bukan faktor utama," ujarnya.

Ketika beraksi di Arsenal, Oxlade Chamberlain kerap diturunkan sebagai pemain sayap (belakang) berbanding posisi asalnya iaitu di bahagian tengah.

"Saya berada di Arsenal selama tujuh tahun dan semestinya satu keputusan yang sukar dibuat untuk bermain buat kelab lain.

"Sangat sukar untuk merebut tempat kesebelasan utama di Arsenal.

"Saya masih ingat ketika perlawanan pertama pada musim itu, saya dimainkan di posisi pertahanan kanan."Itu antara faktor yang membuatkan saya mengambil risiko untuk bermain di kelab lain," tambahnya lagi. - talk SPORT

Artikel Lain