suria

Guardiola terkejut Manchester City lebih cemerlang berbanding Manchester United

Manchester City menewaskan Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carabao pada minggu lalu. Foto: REUTERS

PERBEZAAN antara Manchester United dengan Manchester City dalam kedudukan liga mahupun di pentas saingan Eropah berjaya mengejutkan banyak pihak termasuk jurulatih mereka, Pep Guardiola.

Juara dua musim berturut-turut sebelum ini, Manchester City bakal bertandang ke stadium pihak lawan untuk bertemu Manchester United, pada awal pagi Isnin.

Kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang yang tipis untuk menjadi juara berikutan prestasi mengecewakan dalam saingan liga musim ini.

Sejak penglibatan Guardiola, sentuhan magisnya membuatkan Manchester City lebih cemerlang berbanding musuh setempat mereka, Manchester United.

"Saya tak pernah jangkakan perbezaan yang ketara untuk tiga atau empat musim kebelakangan ini.

"Manchester United mempunyai pemain yang berkualiti dan begitu juga dengan jurulatih mereka, Ole Gunnar Solskjaer.

"Dia berjaya mengemudi kelab dengan baik," ujar Guardiola kepada Daily Mail.

Penggantungan selama dua musim oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memberi tamparan hebat buat Manchester City apabila pemain berstatus bintang ingin keluar dariapda kelab tersebut. Foto: REUTERS

Untuk rekod, Guardiola tidak pernah tewas di Old Trafford sekali gus perlawanan pada awal pagi Ahad lebih kepada menjaga maruah masing-masing sebagai 'hero' di Manchester.

Meskipun Manchester City dilihat bakal menamatkan musim di empat tangga teratas liga, mereka masih tidak dibenarkan untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Ini kerana Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah mengenakan penggantungan selama dua musim kerana melanggar peraturan fair-play kewangan.

Walau bagaimanapun, Guardiola menafikan tindakan kelab tersebut dengan menyifatkan pembelian pemain adalah sesuatu yang normal.

"Jika anda lihat senarai kelab yang membeli pemain bernilai tinggi, Manchester City berada di kedudukan ke-23 atau 24.

"Sangat penting bagi sebuah kelab untuk membeli pemain yang mahal dan berkualiti kerana tidak semua pemain sesuai dengan corak permainan kelab," tambahnya lagi. - Goal.com

Artikel Lain