suria

Aksi berkualiti Lacazette bikin Arteta ‘pening’

Lacazette (berjersi merah) meraikan gol selepas masuk sebagai pemain gantian. Foto: REUTERS

ALEXANDRE Lazacette yakin bahawa jurulatih Arsenal, Mikel Arteta 'pening kepala' dengan pilihan penyerang yang ada selepas perlawanan menentang West Ham pada Sabtu.

The Gunners menghidupkan semula peluang untuk berada di tangga empat teratas ketika menewaskan pasukan yang berada di zon penyingkiran, West Ham dengan jaringan 1-0.

Arsenal dilihat sukar untuk mencipta peluang menjaringkan gol tetapi berjaya memecah kebuntuan selepas pemain gantian, Lacazette menjaringkan gol 12 minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan ini berjaya melonjakkan Arsenal ke tangga kesembilan dengan hanya lima mata di belakang Chelsea yang kini di tempat keempat.

Lacazette yang kini sudahpun menjaringkan sembilan gol dalam 26 perlawanan musim ini meluahkan rasa gembiranya selepas tamat perlawanan.

"Kami perlu berkerja keras kerana perlawanan tersebut agak mencabar. Mereka mampu menjaringkan berdasarkan corak permainan mereka yang bagus, tetapi inilah bola sepak, permainan yang bagus tidak dapat menjamin kemenangan.

"Ia adalah tugas saya untuk membuat jurulatih saya 'pening'.

"Sukar bagi saya untuk mendapatkan kesebelasan utama tetapi saya gembira kerana dapat menjaringkan gol meskipun bermula dari bangku simpanan.

"Semua pemain mahu memberikan yang terbaik supaya dapat beraksi sebagai kesebelasan utama. Ia adalah normal dan bagus untuk pasukan," ujar Lacazette.

Arteta perlu membuat pilihan yang sukar untuk memilih pemain di bahagian serangan. Foto: REUTERS

Selepas melihat prestasi Lacazette, Arteta memberitahu bahawa dia mempunyai dua penyerang yang membuatkannya sukar untuk membuat pilihan.

"Saya boleh nampak yang dia (Lacazette) sangat peka, fokus dan bersemangat setiap kali turun bermain.

"Masalah yang sama saya turut hadapi di bahagian pertahanan, di mana prestasi kesemua pemain berada pada tahap tertinggi," tambah Arteta.

Arsenal kini mempunyai beberapa pilihan pemain di bahagian serangan seperti Alexandre Lacazette, Pierre-Emerick Aubameyang, Nicolas Pepe, Gabriel Martinelli, dan Eddie Nketiah. - Metro.uk

Arteta, Lacazette, Arsenal

Artikel Lain