suria

Messi, Hamilton kongsi trofi Anugerah Laureus

Hamilton dan Messi mempunyai rekod terbaik dalam acara masing-masing.

BUAT julung kalinya, anugerah Atlet Terbaik Tahunan Laureus bagi kategori lelaki berkongsi pemenang iaitu Lionel Messi dan Lewis Hamilton.

Mereka muncul pemenang selepas menewaskan nama-nama besar yang lain seperti Tiger Woods, Rafael Nadal, Marc Marquez dan Eliud Kipchoge dalam majlis yang berlangsung di Berlin awal pagi Selasa.

Hamilton, 35, mengungguli anugerah tersebut atas pencapaiannya muncul juara dunia sebanyak enam kali dalam perlumbaan F1.

Manakala Messi, 32, yang tidak dapat hadir pada anugerah tersebut telah memohon maaf melalui video yang dipaparkan dengan menyatakan hasratnya yang ingin turut serta pada majlis itu.

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyerahkan trofi kepada Hamilton. Foto: Dailymail

Bintang Barcelona itu dipilih selepas rekod cemerlang merangkul anugerah Ballon d'Or buat kali ke-enam serta membantu meraih 10 kejuaraan liga bersama kelabnya.

"Anugerah ini amat istimewa dan saya berbangga kerana menjadi pemenang pertama daripada acara berpasukan," ujar Messi.

Sementara itu atlet gimnastik, Simone Biles muncul pemenang dalam kategori wanita selepas membantu Amerika Syarikat memenangi lima kali kejohanan dunia berturut-turut dan ini merupakan anugerah Atlet Wanita Terbaik Tahunan Laureus yang ketiga baginya.

Pasukan Afrika Selatan dengan nama julukan Springboks pula menjadi pemenang bagi kategori berpasukan selepas prestasi cemerlang mereka menewaskan England ketika final Piala Dunia Ragbi 2019. - Dailymail.co.uk 

Messi, Hamilton, Biles

Artikel Lain