suria

SIC jamin selesai isu harga tiket MotoGP Sepang sebelum Ogos

Razlan ditemui pihak media mengenai isu penetapan cukai hiburan yang dikenakan ke atas tiket MotoGP Malaysia oleh Kerajaan Selangor tahun ini.

PERLUMBAAN Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) dianggap istimewa tahun ini sempena sambutan ulang tahun ke-20 perlumbaan itu diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Perlumbaan kali ini akan berlangsung selama tiga hari antara 1 hingga 3 November ini.

Bagaimanapun harga tiket masih menjadi isu dalam kalangan peminat-peminat sukan permotoran berikutan penetapan cukai hiburan yang dilaksanakan kerajaan Selangor tahun ni biarpun harganya masih kekal sama.

Menyedari sambutan penjualan tiket yang agak perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali mengakui pihaknya sedang berunding mengenai perkara itu.

“Ramai yang tidak berpuas hati dengan harga tiket berikutan penetapan cukai.

“Kita telah berunding dan InsyaAllah hujung bulan ini atau Ogos harap isu ini akan selesai.

“Malah saya yakin dan percaya menjelang November nanti sebelum perlumbaan tiket-tiket akan habis dijual.

“Dari segi kehadiran pengunjung saya juga positif akan sama dengan jumlah tahun lalu hampir 170,000 atau lebih,” jelasnya kepada media ketika Pelancaran Shell Grand Grand Prix Malaysia, Selasa malam.

Razlan memberitahu, perlumbaan tahun ini mempunyai tarikan lebih besar memandangkan Malaysia bakal dihidangkan dengan pasukan sendiri iaitu Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

“Kita ada Hafizh Syahrin dah Khairul Idham Pawi yang akan bersaing di hadapan penyokong sendiri.

“Sudah pasti ramai yang akan berkunjung ke Litar Sepang,” ujarnya.

Untuk rekod, secara keseluruhan seramai 169,827 penonton hadir untuk menyaksikan GP Malaysia tahun lalu, memecah rekod kehadiran penonton pada 2017 (166,484) dan 2016 (161,533).

Razlan, SIC

Artikel Lain