suria

Chong Wei beraksi atau tidak, BAM akan sediakan pemain terbaik untuk Piala Sudirman

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyeru agar peminat sukan badminton tanah air mahupun media memberi sokongan kepada barisan pemain baharu dalam skuad badminton negara dan pada masa yang sama memberi ruang dan masa kepada jaguh negara Datuk Lee Chong Wei sebelum beliau kembali ke pentas pertandingan.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata barisan pemain muda yang diketengahkan untuk kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2019 dan Piala Sudirman 2019 memerlukan sokongan penyokong tempatan kerana ia merupakan platform untuk mereka melonjak ke peringkat lebih tinggi.

"Kita sering berkata siapakah pengganti Chong Wei, V Shem-Wee Kiong, Liu Ying-Peng Soon...kita sudah ada pengganti-penggantinya. 

"Kita sudah menaik taraf Terbuka Malaysia yang kita dapat lihat pemain terbaik dari seluruh dunia datang. Ini peluang untuk peminat Malaysia untuk datang ke Arena Axiata untuk sokong para pemain negara.  

"Pemain memerlukan sokongan penonton Malaysia. Ketika mereka masih muda inilah satu daripada cara kita berikan mereka perangsang, galakan dan motivasi untuk mereka terus maju dan menggantikan pemain senior kelak," katanya kepada pemberita selepas majlis kerjasama antara BAM dan artis tempatan Elizabeth Tan di Akademi Badminton Malaysia pada Jumaat.

Chong Wei mengesahkan terpaksa menarik diri daripada kejohanan badminton Terbuka Malaysia pada 2 hingga 7 April ini, atas nasihat doktor yang merawatnya.

Pemain berusia 36 tahun itu sebelum ini, berehat panjang bagi menjalani rawatan kanser hidung yang dihidapi dan merancang untuk kembali beraksi secara kompetitif dalam Terbuka Malaysia selepas gagal untuk melakukannya di All England, sebelum ini.

Kalau bercakap mengenai Chong Wei, kita pun tidak mahu dia main satu hari dan dia sakit semula. Pada saya beliau telah melakukan yang terbaik untuk negara.

MOHAMAD NORZA

Presiden BAM

Sementara itu, mengulas mengenai aksi Chong Wei di kejohanan badminton Piala Sudirman pada 19 hingga 26 Mei di Nanning, China, Mohamad Norza berkata sama ada Chong Wei akan beraksi atau tidak, BAM akan menyediakan pemain terbaik bagi menghadapi saingan kumpulan D, bersama-sama China dan India.

"Kalau bercakap mengenai Chong Wei, kita pun tidak mahu dia main satu hari dan dia sakit semula. Pada saya beliau telah melakukan yang terbaik untuk negara. 

"Sebenarnya, saya nasihatkan semua agar kita beri beliau masa dan ruang dan apabila beliau telah bersedia, dia boleh kembali," kata beliau.

Justeru, Mohamad Norza berharap agar peminat badminton negara memberi sokongan penuh kepada para pemain baharu yang akan diketengahkan mewakili negara ke kejohanan yang lebih tinggi kerana mereka juga adalah aset untuk mengganti pemain senior. 

Undian Piala Sudirman menyaksikan pilihan pertama, Jepun diundi dalam kumpulan A bersama Thailand dan Rusia manakala Indonesia, Denmark dan England dalam kumpulan B.

Juara bertahan Korea Selatan diundi dalam kumpulan C bersama Taiwan dan Hong Kong.  

Pada edisi dua tahun lepas di Gold Coast, Australia, skuad badminton negara hanya mara ke peringkat suku akhir.Untuk rekod, Malaysia tidak prnah menjuarai Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China. - Bernama

badminton, Lee Chong Wei

Artikel Lain