suria

Kenyataan tak bertanggungjawab! Hodak bakal terima surat tunjuk sebab - FAM

“MEMANG tak patut dia keluarkan kenyataan seperti itu”, jelas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Mohd Yusoff memberi maklum balas terhadap kenyataan Ketua Jurulatih Bawah 19 Tahun Negara, Bojan Hodak yang menyalahkan sistem bola sepak negara.

Skuad remaja negara yang beraksi pada Kejohanan Piala Sanix di Stadium Global Arena, Fukuoka, tewas dalam dua perlawanan berturut-turut bagi saingan Kumpulan A.

Sejurus selepas kekalahan itu, Hodak mendedahkan semuanya berpunca daripada sistem bola sepak negara yang tidak betul.

“Pertamanya saya rasa kesal dengan kenyataan yang dibuat Bojan. Apabila pasukan negara hadapi kekalahan demi kekalahan, dia keluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai seorang jurulatih profesional, kita  telah lihat kejayaannya dalam membawa skuad Piala AFC sebelum ini, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana pemain-pemain yang tersebut adalah produk sistem bola sepak negara negara.

“Apabila peroleh kejayaan, sistem bola sepak negara tidak dipersoalkan. Ia memang kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya ketika ditemui sebelum Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di Johor Bahru pada Jumaat.

Tambah Mohd Yusoff, sekiranya Hodak mempunyai sebarang masalah, dia sepatutnya mencari jalan untuk penyelesaian.

“Dia boleh berjumpa dan berbincang dengan Pengarah Teknikal FAM , Peter De Roo. Bukannya beri kenyataan yang seolah-olah mengelak daripada bertanggungjawab.

“Kita akan lihat lebih serius isu ini dan berbincang jenis tindakan yang akan diambil. Mungkin minta dia beri surat tunjuk sebab,” jelasnya.

Hodak, FAM

Artikel Lain