suria

Cheng Hoe seru penyokong skuad negara banjiri stadium saksikan Piala Airmarine 2019

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (gambar) menyeru penyokong tempatan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan pada Kejohanan Bola Sepak Empat Negara Piala Airmarine 2019 dari 20-23 Mac ini.

Beliau berkata sokongan padu yang diberikan penyokong ketika Malaysia muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018, perlu diteruskan kerana ia akan dapat menaikkan semangat pemain negara mempamerkan aksi terbaik di laman sendiri.

“Memang harapan pemain supaya penyokong datang beri sokongan sama seperti pada Piala AFF Suzuki sebelum ini, dan ini memberi satu motivasi tinggi dan keyakinan pemain bertambah, walaupun kita tahu kadang kala, pemain tidak beraksi dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan tiket Piala Airmarine kepada salah sebuah sekolah di Petaling Jaya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata hanya pemain PKNS FC, Nicolas Ryan Swirad yang mengalami kecederaan ringan, manakala 23 pemain lain bebas daripada sebarang kecederaan.

Sementara itu Pengarah Teknikal Piala Airmarine, M.Gopal mendedahkan yang jualan tiket untuk kejohanan ini masih rendah dan hanya kira-kira 10,000 tiket sahaja terjual dalam talian sejak 1 Mac.

Katanya, Pro Events International Sdn Bhd telah membuat keputusan memberikan diskaun pada harga RM25 setiap satu bagi 5,000  pelajar sekolah rendah dan menengah bagi membolehkan lebih ramai peminat memberikan sokongan kepada pasukan nasional.

“Promosi ini hanya terpakai untuk pelajar berusia 18 tahun ke bawah dan mereka perlu membawa kad pengenalan pelajar mereka ketika membuat pembelian,” katanya.

Harga tiket sebenar adalah RM45 untuk tempat duduk utama dan RM35 bagi tempat duduk biasa seperti diumumkan sebelum ini, kata Gopal.

Piala Airmarine ini menyaksikan, pada 20 Mac Malaysia akan betermu Singapura manakala Oman akan akan menghadapi Afganistan.  

Pada 23 Mac, pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu di perlawanan akhir, manakala yang tewas perlawanan 20 Mac itu akan menentukan tempat ketiga dan keempat. - Bernama

Artikel Lain