suria

Fifa sedia kenakan larangan perpindahan terhadap Manchester City

Pep Guardiola (kanan) merupakan pengurus Manchester City. - Foto Reuters

MANCHESTER City berdepan larangan untuk menandatangani kontrak pemain pada dua jendela perpindahan berikutnya kerana melanggar peraturan yang berkaitan dengan perlindungan pemain muda dan pemilikan pihak ketiga, menurut laporan The Sun.

Kelab tersebut disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Liga Perdana Inggeris atas tuduhan yang berkaitan dengan pemindahan pemain belia dan peraturan permainan kewangan yang adil, yang turut dilihat oleh badan bola sepak Eropah (UEFA).

Siasatan itu boleh menyebabkan City disekat daripada menyertai Liga Juara-Juara.

Larangan perpindahan untuk juara Liga Premier akan tiba kurang dari satu bulan selepas Chelsea dikenakan tindakan sama kerana melakukan 29 pelanggaran ke atas 19 peraturan Fifa mengenai perpindahan dan status pemain.

Kelab barat London itu telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan tetapi Fifa memaklumkan pada minggu lalu bahawa tindakan tersebut tidak akan dibekukan sementara kes disemak semula.

Fifa telah menyiasat pemindahan antarabangsa yang dilakukan oleh City selama beberapa tahun.

Kelab itu jelas melanggar peraturan ketika mereka menandatangani Benjamin Garre dari Velez Sarsfield pada 2016, sebaik pemain tengah Argentina itu menyambut ulang tahun kelahiran ke-16.

Pada tahun lalu, dua pemain dari akademi berkenaan iaitu George Davies dari Sierra Leone dan Dominic Oduro dari Ghana memberitahu akhbar Denmark, Jyllands-Posten bahawa mereka menandatangani kontrak dengan City dan bermain dalam perlawanan remaja sebelum mencecah umur 18 tahun.

Kedua-dua pemain itu bagaimanapun tidak lagi bersama City. - Team Talk

Manchester City

Artikel Lain