suria

Pemain bola Sarban FC alami kejang otot, lemas semasa ambil bola dalam tasik

Pasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa. - Foto ihsan Facebook G-Ten

SHAH ALAM: Seorang pemain kelab bola sepak amatur lemas ketika mangsa cuba mengambil bola di dalam Tasik Eco Ardence, Setia Alam di sini malam Selasa.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa Khairul Anuar Hashim, 26, merupakan pemain bagi kelab Sarban FC yang sedang mengadakan perlawanan bola sepak di padang bersebelahan tasik berkenaan.

"Seramai 37 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Shah Alam dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan 10.11 malam," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu. 

Mayat Khairul Anuar yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan itu ditemukan pada kira-kira 2.35 pagi tadi pada jarak 15 meter dari tebing tasik dan lengkap berpakaian.  

Katanya, kedalaman tasik itu adalah kira-kira tiga meter.

Bernama difahamkan mangsa mengalami kekejangan otot ketika berenang mahu mengambil bola berkenaan.

"Operasi mencari dan menyelamat menghadapi sedikit kesukaran berikutan dasar tasik itu yang berselut dan cuaca sedikit gelap."Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat," katanya.

Sarban FC

Artikel Lain