suria

MIFA 'naik pangkat', Perlis ke Liga Premier 2019

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) sah akan mengisi slot ke Liga Super 2019 menggantikan naib juara Liga Premier 2018, Felcra FC, yang menarik diri akibat masalah kewangan yang serius, bersama Felda United yang layak secara automatik sebagai juara Liga Premier 2018.

Keputusan itu diambil Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pasukan Felcra FC supaya memenuhi kuota 12 pasukan dalam saingan Liga Super musim depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MFL pada Jumaat, MIFA yang meraih kedudukan ketiga saingan Liga Premier 2018 diberikan keutamaan kerana telah berusaha dengan baik untuk mematuhi keperluan MFL dan telah menunjukkan rancangan masa depan yang jelas seperti menetapkan mereka dalam komuniti dan pelan untuk meningkatkan hubungan bersama penyokong.

Malahan, MFL juga percaya bahawa MIFA yang menerima pelaburan baharu akan menggunakan pelaburan tersebut bagi membantu pasukan tersebut menjadi lebih stabil pada masa yang akan datang.

Bagaimanapun, pasukan MIFA terlebih dahulu harus memenuhi lapan kriteria bagi membolehkan pasukan tersebut beraksi dalam Liga Super musim depan.

Sementara itu, pasukan ‘Singa Utara' Perlis FA pula bakal beraksi dalam saingan Liga Premier bersama pasukan Terengganu FC II, yang merupakan juara Challenge Cup 2018, dan pasukan Selangor United sebagai naib juara Piala FAM 2018.

Menurut kenyataan itu, satu perjumpaan telah diadakan di Wisma FAM semalam melibatkan pihak MFL yang diwakili Ketua Pengarah Operasi Kevin Ramalingam dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam bersama Presiden Perlis FA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit, yang telah dimaklumkan bahawa promosi berkenaan bersyarat dengan pihak Perlis FA perlu menyelesaikan masalah tunggakan gaji sedia ada.

Persetujuan bersama telah dicapai di mana agihan kewangan dari MFL kepada Perlis FA untuk musim 2019 akan ditahan oleh pihak MFL dan pihak Perlis FA diberi tempoh masa 60 hari untuk melangsaikan segala bayaran tunggakan gaji.

Sekiranya pasukan Singa Utara itu gagal melangsaikan tunggakan tersebut, pasukan itu tidak akan mendapat pengagihan dana daripada MFL dan agihan tersebut akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan itu.

Selain itu, juara Piala FAM 2018 Terengganu City FC dan Kuantan FA disahkan tidak akan bertanding dalam Liga Premier musim depan kerana masalah tunggakan gaji yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, UKM FC walaupun dikekalkan dalam saingan Liga Premier, telah dikenakan denda dan diberi amaran untuk menguruskan garis masa dengan lebih efisien.

Pasukan yang akan beraksi di Liga Super 2019 termasuk juara lima kali, Johor Darul Ta'zim (JDT), Felda United, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka United, Pahang, Perak, PKNP FC, PKNS FC, Selangor, Terengganu FC dan MIFA.

Dua belas pasukan yang akan bersaing dalam kancah Liga Premier ialah Kelantan, Negeri Sembilan, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu FC II, Selangor United, UKM FC, UiTM FC dan PDRM FA. - BERNAMA

MIFA, Perlis, MFL

Artikel Lain