suria

Dik Wan penerima Shakam tertinggi

Syed Saddiq (berdiri, enam kanan) bergambar bersama Skuad Para Olahraga yang menerima sumbangan hadiah terbesar dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM910,000 di atas kejayaan mereka pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) 2018 hari ini. Turut kelihatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (berdiri, lima kanan). Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Selepas cemerlang meraih tiga pingat emas dan melakar rekod baharu pada temasya Sukan Para Asia Jakarta 2018, atlet para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul penerima individu Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) tertinggi dengan jumlah RM260,000.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu menampilkan prestasi luar biasa sepanjang Sukan Para Asia 2018 untuk merangkul emas dalam acara 100 meter (m) , 400m dan lompat jauh T36.

Ketika ditemui pemberita, Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Dik Wan' menzahirkan rasa terima kasih dan menyifatkan insentif itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya di masa hadapan.

“Syukur Alhamdulillah di atas pemberian ini. Prestasi di Sukan Para Asia itu tidak datang tanpa sokongan semua pihak terutama ahli keluarga. Ia juga menaikkan semangat saya untuk berusaha lebih gigih demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya pada majlis penyampaian Shakam yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, Khamis.

Sementara atlet gimnastik berirama, Amy Kwan Dict Weng yang memungut satu emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pula menerima RM133,333 manakala jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang menerima RM113,333.33 selepas meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Sementara itu, prestasi cemerlang 17 pingat emas, 26 perak dan 25 gangsa dirangkul barisan atlet para negara pada temasya Sukan Para Asia Jakarta 2018 menjadikan mereka sebagai penerima Shakam tertinggi  dengan jumlah terkumpul hampir RM3 juta (RM2,998,000.00) dan daripada jumlah berkenaan, sukan para olahraga meraih insentif tertinggi berjumlah RM910,000.

Pada masa sama, Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang menyaksikan kontinjen negara meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa mencatat jumlah keseluruhan Shakam berjumlah RM1.57 juta  (RM1,568,000)  dengan sukan boling tenpin meraih insentif tertinggi dengan RM248,000.

Sementara kontinjen Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pula menerima insentif Shakam berjumlah  RM1,030,000 dan skuad badminton menjadi penerima insentif tertinggi dengan jumlah RM280,000.

Dalam pada itu, jumlah keseluruhan Shakam berjumlah kira-kira RM6.24 juta (RM6,236,000) yang disampaikan hari ini turut melibatkan tiga kejohanan dunia yang disertai skuad tenpin boling lelaki, skuad pencak silat dan skuad bina badan negara.

Kontinjen Malaysia yang meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018 baru-baru ini menerima Shakam sebanyak RM380,000, sementara skuad tenpin boling lelaki negara menerima RM160,000 atas kejayaan dua pingat emas pada Kejohanan Tenpin Boling Lelaki Dunia 2018 bulan lepas.

Kejohanan Bina Badan Dunia 2018 yang berakhir Isnin lepas dengan pencapaian empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa pula menyaksikan skuad bina badan negara menerima jumlah Shakam sebanyak RM100,000.-Bernama

Shakam 2018

Artikel Berikut

Artikel Lain