suria

FAM sediakan skrin gergasi perlawanan akhir kedua Malaysia-Vietnam di Dataran Merdeka

Semua penyokong Harimau Malaya boleh menonton di Dataran Merdeka menerusi skrin gergasi yang disediakan FAM bermula pukul 6 petang ini.

PETALING JAYA: Penyokong-penyokong Harimau Malaya yang tidak dapat bersama pasukan di Vietnam bagi perlawanan akhir kedua malam ini boleh menonton secara langsung di Dataran Merdeka bermula pukul 6 petang Sabtu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif menganjurkan 'viewing party' dengan menyediakan skrin gergasi khas kepada semua ekor Harimau Malaya di tanah air.

Perlawanan akhir kedua yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi  merupakan aksi 'hidup mati' pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe ini untuk mencapai misi membawa balik trofi yang dijulang lapan tahun lalu.

Perlawanan ini juga dijangka lebih sengit selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 dalam aksi dramatik pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lalu.

Biarpun perlawanan di tempat lawan, skuad Malaysia tidak 'keseorangan' memandangkan ribuan penyokong setia yang turut terbang ke Hanoi sejak Jumaat bagi menyaksikan sendiri sejarah bola sepak negara dicipta, sekiranya tuah berpihak kepada Malaysia.

Sebagai rekod, kemaraaan skuad negara ke final Piala AFF Suzuki ini merupakan kali keempat sejak kejohanan dwi tahunan ini dianjurkan bermula tahun 1996.

Skuad Harimau Malaya berjaya menjulang trofi buat kali pertama pada tahun 2010 ketika di bawah bimbingan Datuk K.Rajagobal.

Final Piala AFF

Artikel Lain