suria

Marcelo akui Real Madrid rindu Ronaldo

Marcelo (kiri) dan Ronaldo ketika menjadi rakan sepasukan.

PEMAIN bek penuh Real Madrid, Marcelo mengakui pasukan gergasi LaLiga itu merindui Cristiano Ronaldo, tetapi mengatakan bahawa perkara itu sudah dijangka.

Selepas sembilan musim bersama dengan Madrid, Ronaldo meninggalkan kelab tersebut pada Julai untuk menyertai juara Serie A, Juventus. 

Madrid dengan cepat merasakan ketiadaan bintang Portugal itu kerana bergelut di peringkat awal kempen sebelum memulihkan keadaan di bawah Santiago Solari, bagaimanapun mereka masih berada lima mata di belakang Barcelona dalam LaLiga.

Marcelo berkata, memang jelas Madrid akan merindui "pemain terbaik di dunia" itu, tetapi percaya juara-juara Eropah tetap akan menjadi dominan.

"Dia seorang pemain yang juga rakan sepasukan saya, sama seperti dia bersama Sergio (Ramos) dan Luka (Modric)," kata pemain Brazil itu kepada Club del Deportista.

"Ia amat jelas apabila pemain terbaik dunia tidak berada di dalam pasukan anda, anda akan merinduinya.

"Tetapi saya tidak mahu mengatakan bahawa kita tidak mempunyai pemain-pemain terbaik di dunia dalam setiap posisi.

"Mana-mana pasukan ingin memiliki Cristiano dalam pasukan mereka, tetapi Madrid akan terus menjadi Madrid meskipun pemain datang dan pergi," katanya.

Ronaldo telah mengekalkan prestasi baiknya di Juve dengan jaringan 11 gol dalam 20 perlawanan musim ini. - Four Four Two

Cristiano Ronaldo

Artikel Lain