suria

Ketagih permainan video? Barcelona sudah hilang sabar sikap Dembele

Ousmane Dembele.

BINTANG Barcelona Ousmane Dembele dilaporkan telah memberitahu kelabnya bahawa dia mahu meninggalkan Camp Nou pada Januari depan.

Masalah tingkah lalu Dembele menjadi isu utama di Barcelona dan kelab gergasi Sepanyol itu sedia menjual pemain tersebut pada musim sejuk ini.

Pemain kebangsaan Perancis itu sering datang lambat ke sesi latihan dan Barcelona bimbang dia mula ketagih bermain permainan video.

Arsenal dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Dembele dan sekali lagi bertanya kepada Barcelona mengenai pemain itu.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp juga tertarik terhadap pemain berusia 21 tahun itu.

Menurut laporan Goal, Dembele telah memaklumkan kepada pegawai Barcelona bahawa dia berhasrat untuk angkat kaki dari kelab itu.

Kelab La Liga itu sedia menjual bekas pemain Borussia Dortmund itu bagi mengumpul dana untuk membawa masuk semula Neymar ke Camp Nou.

Dembele menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Atletico Madrid hujung minggu lalu.

Barcelona menjual Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan rekod perpindahan dunia bernilai 222 juta euro pada Ogos tahun lalu tetapi berminat untuk mendapatkan kembali bintang Brazil itu.

Walaupun timbul spekulasi mengenai masa depan Dembele bersama Barcelona, Luis Suarez menggesa pemain muda itu supaya menyedari kesilapannya dan menjadikan rakan pasukan mereka sebagai inspirasi untuk berubah menjadi lebih baik.

"Saya fikir menjadi seorang pemain bola sepak adalah satu penghormatan.

"Saya fikir dia perlu fokus pada bola sepak dan mengambil inspirasi daripada pemain profesional untuk berubah," katanya.

Ejen kepada Dembele, Moussa Sissoko menafikan dakwaan bahawa kliennya itu digugurkan ketika aksi menentang Real Betis kerana melanggar undang-undang kelab.

"Segala kritikan membuatkan saya ketawa. Ia sudah bermula dengan kelewatan dalam satu mesyuarat sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang Inter.

"Saya amat terkejut akhbar boleh melaporkan maklumat ini kerana Dembele sebenarnya tidak datang lambat. Jurulatihnya boleh mengesahkan fakta dia tidak diturunkan bukan kerana lambat," katanya. - Metro.co.uk

Ousmane Dembele, Barcelona

Artikel Lain