suria

Afiq gagal perbaharui rekod kebangsaan

Muhamad Afiq.

IPOH: Harapan atlet olahraga paralimpik negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah memperbaharui rekod kebangsaan bagi acara 100 meter (m) T12 (masalah penglihatan) tidak kesampaian apabila hanya mencatatkan masa 11.40 saat (s) pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 pada Ahad.

Bagaimanapun catatan masa tersebut membolehkan pemuda berusia 24 tahun itu meraih pingat emas dan Norhelmi Mohd Rabi dari Kuala Lumpur pingat perak (12.13s) dan Mohd Aizam Akmar Mohd Razali dari Kedah bagi pingat gangsa (13.73s).

"Saya agak kecewa sebab saya nak pecah rekod (kebangsaan) semasa di Sukan Para Asia di Jakarta tempohari tetapi tidak berjaya, kemudian di sini saya harapkan akan dapat lakukannya namun tetap tidak berjaya.

"Mungkin disebabkan tidak cukup masa untuk lakukan latihan saya gagal lakukannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Perak di sini pada Ahad.

Catatan terbaik Muhamad Afiq bagi acara itu adalah 11.20s yang dilakukannya ketika peringkat saringan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia April lalu sekali gus memadam rekod kebangsaan, 11.27s yang sebelum ini dipegang Mohammad Faizal Aideal Suhaimi. 

Sementara itu dalam acara 100m Lelaki T35 (Cerebral Palsy-Standing), atlet dari Kedah, Mohd Sobri Ghazali berjaya memperbaharui rekod kejohanan apabila mencatatkan masa 13.79 untuk memenangi pingat emas.

Mohd Sobri, 38, yang berkerja sebagai penoreh getah berasal dari Sik, Kedah itu berkata sasaran beliau pada temasya kali ini adalah meraih tiga pingat emas melalui tiga acara yang disertainya.

Alhamdulillah saya berjaya mempertahankan pingat yang saya menangi dua tahun lalu dan saya harap Para Sukma kali ini saya dapat kekalkan momentum seterusnya dan menambah satu lagi pingat emas.

"Di Sarawak saya berjaya bawa pulang dua pingat emas dalam acara 100m dan 200m, kali ini saya masuk tiga acara 100m, 200m dan 400m dan harap berjaya memenangi kesemua acara itu," katanya.

Dalam acara itu, pingat perak dimenangi Mohd Alif Malek dari Perlis (14.8s) dan pingat gangsa milik Muhammad Naqid Naquiddin Mohd Ajimin dari Kelantan (16.11s).

Pada Ahad, sebanyak 38 emas menjadi rebutan dalam acara olahraga dengan 15 untuk acara larian 100m, rejam lembing (14), lompat jauh (5),  800m (2), manakala lompat tinggi satu. - Bernama

Muhamad Afiq

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain