suria

Shalin akui lebih mencabar dengan format kiraan mata baharu

PALEMBANG: Pengenalan sistem baharu kiraan mata pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 akan memberikan lebih cabaran kepada pemain boling di Pusat Boling Jakabaring, menurut  Shalin Zulkifli.

Shalin, antara pemain boling paling cemerlang dalam Sukan Asia, berkata Sistem Kiraan Mata Frame, digunakan buat julung kali dalam acara utama beraneka sukan atau multi-sport, akan menjadikan persaingan tidak dapat diramalkan.

Acara boling bermula Rabu ini.

Pemain berusia 40 tahun itu yang memenangi lapan pingat dalam enam penampilan terakhirnya pada Asiad, berkata format baharu itu akan membolehkan pemain meraih mata tinggi ekoran setiap pemain boleh mendapat 30 mata setiap kali melakukan strike.

Choi Jin-a daripada Korea Selatan yang memegang rekod 10 pingat Asiad, dan Choi Bok-eum (sembilan pingat) ialah pemain yang memenangi lebih banyak pingat daripada Shalin dalam acara boling.

“Format ini telah digunakan dalam Jelajah Persekutuan Boling Asia (ABF) sejak tiga tahun lepas, tetapi ini pertama kali digunakan dalam temasya utama. Semua daripada kami tidak boleh ramalkan apa yang bakal berlaku.

“Ia mungkin memberi kelebihan kepada pemain. Pendekatannya juga berbeza. Kami akan cuba sesuaikan diri,” katanya kepada Bernama semasa ditemui semasa sesi pemeriksaan peralatan di venue itu di sini.

Mengikut format pertandingan, setiap permainan terdiri daripada 10 frame. Jika seorang pemain melakukan strike, dia akan mendapat 30 mata. Jika pemain melakukan spare dalam frame, dia akan mendapat 10 mata ditambah dengan jumlah jatuhan pin bagi balingan pertama.

Shalin, yang memenangi empat pingat emas dalam Sukan Asia setakat ini, berkata beliau menjangkakan cabaran sengit daripada tuan rumah Indonesia, Chinese Taipei, Singapura dan Thailand, dengan tumpuan kepada pasukan wanita Malaysia yang muncul juara dunia di Las Vegas pada Disember lepas.

“Setiap hari, kami perlu melakukan penyesuaian dan perubahan, kerana ini akan berbeza.

“Banyak perkara boleh menjejaskan permainan boling, seperti corak minyak, haba, di mana letaknya lorong, misalnya berhadapan pintu masuk, betapa sejuk pendingin hawa, siapa yang bermain sebelum anda, dan sebagainya,” katanya.

Selain Shalin, pasukan wanita Malaysian turut dibarisi pemain berpengalaman Esther Cheah, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan.

Pengurus pasukan Maradona Chok berkata dengan format baharu itu, menjadikan lebih sukar untuk pemain bangkit semula jika mereka ketinggalan disebabkan kesilapan lebih awal dalam permainan dan mereka perlu konsisten sepanjang permainan.

Chok, yang juga setiausaha agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berkata untuk memenangi pingat pada edisi ini jauh lebih mencabar susulan penganjur telah mengurangkan jumlah acara daripada 12 kepada enam.Enam acara itu ialah trio lelaki dan wanita, berpasukan enam dan Masters.

Shalin Zulkifli

Artikel Lain