suria

Karim nafi KOM ambil sikap lepas tangan terhadap Poad

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menafikan dakwaan Ketua Kontinjen Sukan Asia bahawa beliau mengambil sikap lepas tangan terhadap jurulatih pecut negara, Poad Md Kassim sehingga terpaksa mencari penajaan sendiri untuk ke Sukan Asia Jakarta-Palembang yang sedang berlangsung.

Karim yang kecewa dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tampil menjelaskan bahawa mengikut sistem penggiliran, Poad sedia maklum bahawa namanya tidak ke Sukan Asia kerana jurulatih itu telah dihantar ke Sukan Komanwel dan hanya jurulatih M. Balamurugan ke Indonesia.

“Beliau (Abdul Azim) sepatutnya menghubungi saya meminta penjelasan bukan terus menunding jari begitu sahaja.

“Memang KOM membuat sistem penggiliran, jurulatih Poad sendiri sudah maklum perkara ini. Saya tahu beliau mendapat penajaan ke Sukan Asia, pihak KOM sedang menguruskan kad akreditasi harian beliau di sana. Permohonan kad akreditasi bukan mudah, saya sendiri tiada akreditasi itu,” katanya.

Portal tempatan mendakwa Abdul Azim bengang sebaik mendapat tahu Poad terpaksa meraih simpati daripada penajaan luar demi membolehkan penyertaannya itu di Jakarta.

Namun Poad sendiri memaklumkan bahawa beliau mencari penajaan sendiri kerana mahu memberikan sokongan moral kepada anak buahnya dan sudah sedia maklum dengan sistem penggiliran KOM itu.

Bagaimanapun Poad dikatakan masih belum mempunyai kad akreditasi, namun perkara itu bukan satu masalah apabila pihak KOM dikatakan akan berusaha untuk mendapatkannya. - BERNAMA

KOM, Poad Md Kassim

Artikel Lain