suria

Piala Malaysia: Felda United kekal rekod tanpa kalah

KUALA LUMPUR: Perebutan kedudukan selaku pendahulu saingan Kumpulan B Piala Malaysia 2018 antara Felda United dan PKNS FC berakhir dengan kemenangan Felda United 3-2 ke atas pasukan tuan rumah, PKNS FC.

Sebelum ini kedua-dua pasukan masing-masing mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.Keputusan itu menyaksikan 'The Fighters' kekal menerajui Kumpulan B dengan tujuh mata manakala PKNS FC kedua dengan empat mata.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Shah Alam Ahad malam, tuan rumah mensia-siakan peluang selepas mendahului perlawanan dengan dua gol melalui tandukan deras Rafael Ramazotti pada minit ke-16 dan disusuli empat minit berikutnya melalui Muhammad Faris Ramli.

Felda FC berpeluang merapatkan jurang jaringan selepas diberikan sepakan penalti oleh pengadil Mohd Fairuzi Mat Desa selepas penyerangnya, Gilberto Fortunato dijatuhkan oleh pertahanan PKNS FC, Mohamad Qayyum pada minit ke-35.

Iain Ramsey kemudian dengan tenang berjaya menewaskan penjaga gol PKNS FC Muhammad Zarif Irfan.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan kembali memperkemaskan jaringan dan penyerang PKNS FC beberapa kali berjaya mencemaskan gawang Felda FC.

Gol penyamaan oleh Felda United berjaya dijelmakan apabila penyerangnya Thiago Augusto berjaya melepasi perangkap off-side pertahanan PKNS FC sebelum melakukan hantaran leret kepada Gilberto yang kemudian dengan mudah menewaskan Muhammad Zarif bagi gol penyamaan pada minit ke-68 dan berjaya meraih gol kemenangan hasil rembatan kencang Wan Amirul Afiq pada minit ke-80.

Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung malam ini, Perak meraih kemenangan pertama saingan Kumpulan A dan mengutip tiga mata berharga selepas mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pasukan yang terkenal dengan jolokan 'The Bos Gaurus' memperolehi gol mereka melalui Jad Noureddine pada minit ke-40 dan Gilmar Da Silva pada minit ke-60.

Kemenangan itu mengubah kedudukan mereka ke tangga kedua Kumpulan A dengan empat mata dan berkelebihan satu mata mengatasi Kuala Lumpur di tangga ketiga, sementara Terengganu FC mendahului carta kedudukan Kumpulan A dengan tujuh mata.-Bernama

Piala Malaysia, Felda United

Artikel Lain