suria

Kim Swee mahu pemain kekal fokus bertemu Korea Selatan

PETALING JAYA: Kemenangan sulung skuad Bawah 23 Tahun pada Sukan Asia di Palembang memberi aura lebih baik untuk meneruskan baki dua perlawanan dalam Kumpulan E.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee mengakui permulaan yang baik pada kempen kali ini dengan kemenangan 3-1 ke atas  Republik Kyrgyzstan pada Rabu.

Namun beliau mengakui banyak perkara perlu diperbaiki.

"Permulaan Sukan Asia yang baik dengan kemenangan semalam (Rabu). Namun masih ada ruang  untuk dipertingkatkan.

"Paling penting, kekal fokus dengan perlawanan seterusnya," kata Kim Swee di laman Twitternya.

Sementara itu, ketika sesi latihan petang Khamis, Kim Swee mendedahkan bahawa lawan Korea Selatan bukan perlawanan mudah.

"Kita tahu Korea berada di tahap yang berlainan. Mereka bukan sahaja mempunyai sebelas pemain utama, tetapi semua 20 pemain mereka boleh bermain bila-bila masa dengan kualiti yang cukup berbeza.

"Tugas yang mencabar, jadi perlu harungi perlawanan esok dengan penuh disiplin. Dalam masa sama kita tidak boleh lupakan kekuatan kita dan bermain sacara positif seperti perlawanan bertemu Kyrgyzstan.

"Walaupun menang, prestasi kita masih belum membanggakan," jelasnya dalam satu rakaman kepada media petang Khamis.

Kim Swee juga memberitahu, tiga pemainnya berada dalam situasi kecederaan.

"Dominic, Adam dan Akhyar ada sedikit kecederaan. Namun kita akan lihat selepas sesi latihan petang ini ataupun sebelum perlawanan esok.

"Apa yang penting kalau kita dapat mengutip mata dalam dua baki perlawanan ini, ia sudah cukup untuk membawa kita ke peringkat seterusnya."

Skuad Malaysia bakal berdepan dengan aksi sukar perlawanan kedua bertemu juara bertahan, Korea Selatan pada Jumaat  di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, manakala aksi akhir kumpulan menentang Bahrain pada 20 Ogos ini.

Dua pasukan teratas daripada setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

Ong Kim Swee

Artikel Berikut

Artikel Lain