suria

Ada Ronaldo boleh menang!

JURULATIH Juventus, Massimiliano Allegri berkata hasrat pasukannya untuk memenangi Liga Juara-Juara lebih berkobar-kobar selepas mereka menandatangani Cristiano Ronaldo pada musim panas ini.

Ronaldo membuat penampilan pertamanya menggayakan jersi Bianconeri dalam kemenangan 5-0 pasukan kedua Juve pada perlawanan pramusim di Villar Perosa pada Ahad.

Ketibaannya membuatkan penyokong Juve teruja apabila ribuan peminat membanjiri perkampungan kecil dekat Turin demi melihat pemain kesayangan mereka.

"Tahun ini, cita-cita kami untuk memenangi Liga Juara-Juara adalah lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya, sama seperti keiinginan untuk memenangi liga Coppa Italia dan Supercoppa.

"Tapi tiada siapa yang akan memberikan kami apa-apa selagi kami belum memenangi gelaran itu," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ia adalah normal apabila Ronaldo membawa kualiti dan pengalaman antarabangsanya.

"Selain itu, Ronaldo memberikan motivasi kepada pemain muda untuk berkembang dan membantu kelab ini membangun.

"Ramai orang berkata kepada saya, dia seorang pemain profesional yang handal, tetapi keputusan tidak datang secara kebetulan.

"Kita bercakap tentang pemain yang merangkul gelaran Ballon d'Or sebanyak lima kali dan menjadi penjaring terhebat beberapa kali.

"Dia sentiasa ingin menang dan ini membuktikan bahawa Juventus telah menandatangani pemain hebat," ujarnya seperti yang dilaporkan ESPN.

Ronaldo menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu dan kemudian memberikan penghargaan kepada peminat yang membuatkan dia rasa dialu-alukan bagi bulan pertamanya sebagai pemain Juve.

"Hari yang beremosi dalam suasana istimewa yang menceritakan tentang kemenangan Juve.

"Terima kasih kepada semua penyokong di atas sambutan yang hebat!" tulis Ronaldo di Twitter.

Ronaldo

Artikel Lain