suria

Kim Swee gugur seorang lagi pemain sebelum ke Jakarta

PETALING JAYA: Danial Amier Norhisham digugurkan daripada skuad Sukan Asia, beberapa jam sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Isnin.

Menurut Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun, Datuk Ong Kim Swee, kecederaan yang dialami Danial itu memerlukan masa untuk sembuh.

"Selepas berbincang dengan pihak doktor dan melihat keadaan Danial Amier pada latihan pagi tadi, kami mendapati kecederaan pangkal paha (groin) yang dialaminya mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih sepenuhnya.

"Jadi, memandangkan masa suntuk menjelang dua perlawanan awal bertemu Republik Kyrgyz  (15 Ogos) dan Republik Korea (17 Ogos), saya memerlukan pemain yang lebih cergas untuk diturunkan walaupun diakui posisi tengah agak kekurangan pemain," jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Kim Swee,  beliau perlu memikirkan keseluruhan pemain perlu berada dalam keadaan cukup baik dan cergas untuk diturunkan bila-bila masa.

"Jadi dengan kekosongan yang ditinggalkan Danial Amier itu, saya mengambil keputusan untuk menyenaraikan semula Rodney Celvin Akwensivie bagi melengkapkan senarai akhir 20 pemain," jelasnya.

Pada Ahad, Kim Swee menggugurkan penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil dan Rodney yang beraksi untuk PKNS FC.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen Sukan Asia 2018 bertemu Republik Kyrgyzstan pada 15 Ogos dan Republik Korea pada 17 Ogos, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Malaysia akan berdepan Bahrain pada aksi terakhir kumpulan E di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang pada 20 Ogos.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung pada 27 Ogos diikuti separuh akhir pada 29 Ogos, manakala aksi final pada 1 September.

Daniel Amier, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Ada Ronaldo boleh menang!

Artikel Berikut

Artikel Lain