suria

4,000 tiket Piala Sultan Selangor untuk warga PKNS

Majlis Jelajah Publisiti dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor di bangunan Ibu Pejabat PKNS, Seksyen 14 Shah Alam. - Bernama

SHAH ALAM: Sejumlah 4,000 tiket Piala Sultan Selangor, diagihkan kepada seluruh warga kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kata Ketua Pengawai Eksekutif PKNS Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Menurutnya, tiket percuma itu disumbangkan oleh Jawatankuasa Piala Sultan Selangor bagi meraikan ulang tahun perbadanan itu yang ke-54, tahun ini.

"Tiket khas itu diagihkan kepada warga dan kakitangan PKNS sebagai tanda penghargaan sempena meraikan ulang tahun PKNS yang disambut 1 Ogos lalu.

"Kita juga berikan kepada persatuan dan kelab PKNS, anak-anak syarikat PKNS dan akademi PKNS FC," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiket berkenaan di Ibu Pejabat PKNS di Seksyen 14 di sini.

Turut hadir, Pengerusi Piala Sultan Selangor Tan Sri Abd Karim Munisar dan Ketua Jurulatih PKNS FC Datuk K. Rajagobal.

Piala Sultan Selangor yang memasuki edisi ke-17 itu bakal menyaksikan pasukan pilihan Selangor yang diwakili 20 pemain PKNS FC serta dua pemain Selangor bertemu pasukan pilihan Singapura.

Perlawanan pada 25 Ogos ini akan diadakan di Stadium Shah Alam.

Mengulas lanjut, Noraida berkata pihaknya turut melahirkan rasa gembira kerana sekali lagi pasukan PKNS FC dipilih Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pasukan pilihan Selangor.  

"Kali pertama PKNS FC mewakili pasukan Pilihan Selangor adalah pada tahun lepas di kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura pada 6 Mei 2017 yang lalu.

"Saya berharap pasukan yang diwakili PKNS FC ini mampu menjuarai Piala itu, sekaligus kemenangan tersebut akan menjadi hadiah bermakna bersempena ulang tahun PKNS," katanya. - Bernama

Piala Sultan Selangor

Artikel Lain