suria

Kelantan tersingkir, Popov salahkan Bibi

PETALING JAYA: Velizar  Popov menyalahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di atas penyingkiran Kelantan ke Liga Premier musim depan.

Bekas pengendali The Red Warriors (TRW) pada musim 2016 itu memberitahu, prestasi pasukan dari Pantai Timur ini adalah yang terburuk selepas dua tahun meninggalkannya.

"Dua tahun lalu saya diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang meraih kemenangan besar di tempat lawan ketika menang menentang Terengganu  6-1.

"Pada tahun sama kami berjaya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat walaupun musim yang sukar dan pelbagai masalah organisasi.

"Kini, selepas dua tahun, masih sukar untuk percaya bahawa Kelantan akan tersingkir dari Liga Super. Tetapi pasukan yang tersingkir ini ialah 'Bibi FC' diketuai presiden Kafa  yang akan kekal sebagai sejarah terburuk Kelantan.

"Ia bukan TRW kerana penyokong-penyokong Kelantan adalah TRW - Ini adalah Kelantan, Ini adalah Kota Bharu, GKG (go kelantan go) !!," ujarnya dalam satu status di laman Facebooknya.

Kelantan sah tersingkir ke Liga Premier selepas tewas 2-0 di tangan Terengganu Football Club I (TFC I)  di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Isnin malam.

Biar pun masih berbaki satu perlawanan, pasukan yang dikendalikan Yusri Che Lah itu  tidak mampu lagi mengejar Selangor di tangga ke-10 sekali gus memusnahkan misi keluar dari zon penyingkiran.

Kali terakhir Kelantan yang pernah menjuarai Liga Super pada musim 2011 dan 2012 beraksi di Liga Premier ialah pada 10 tahun lalu.

Kelantan sekadar mengutip 15 mata sepanjang musim ini.

Velizar Popov, Bibi Ramjani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut