suria

Ganjaran Pahang julang Piala FA sebelum akhir tahun

Skuad Tok Gajah menjulang trofi Piala FA yang dimenangi selepas menewaskan pasukan Selangor pada Perlawanan Akhir Piala FA Malaysia 2018, 8 Julai lalu. - fotoBERNAMA

KUANTAN: Pembayaran ganjaran kepada pasukan bola sepak Pahang yang menjuarai Piala FA 2018 akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia akan dilaksanakan kerana beliau sendiri yang menjanjikan pemberian ganjaran itu kepada pemain.

"Saya berjumpa dengan pemain dan pengurusan sehari sebelum perlawanan dan telah menyebut bahawa kerajaan negeri bercadang untuk memberikan sedikit ganjaran.

"Cuma ia diberikan mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri, iaitu seadanya dan akan dihulurkan sebelum hujung tahun," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, Selasa.

Wan Rosdy menjawab soalan tambahan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) yang ingin tahu jika kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada pasukan Tok Gajah yang menjuarai Piala FA selepas menewaskan Selangor di Stadium Bukit Jalil pada 7 Julai lalu.

Sementara itu, menjawab soalan Lee Chin Chen (DAP-Bilut), Wan Rosdy memaklumkan bahawa terdapat 37 buah sekolah di Pahang yang disenaraikan sebagai 'sekolah hot spot' oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Saya dimaklumkan bahawa sekolah tersebut disenaraikan kerana mempunyai masalah disiplin, iaitu 30 buah sekolah mempunyai masalah disiplin manakala tujuh lagi mempunyai masalah disiplin dan dadah," katanya.

Wan Rosdy menambah antara tindakan untuk mengatasi mengatasi masalah disiplin di sekolah adalah dengan melaksanakan program pegawai perhubungan sekolah dan program 'Back to School' melibatkan pegawai polis yang berjaya memberi motivasi kepada pelajar. - BERNAMA

Pahang, Piala FA

Artikel Lain