suria

"Kekal tabah Karius, abaikan mereka yang membenci" - Salah

Loris Karius.

PENYERANG Liverpool Mohamed Salah menggunakan media sosial untuk menyatakan sokongannya kepada penjaga gol Loris Karius.

Salah menghantar tweet kepada rakan pasukannya itu selepas Karius dikecam hebat kerana kesilapannya menghadiahkan gol mudah kepada Borussia Dortmund ketika Liverpool tewas 1-3 dalam kempen jelajah ke Amerika Syarikat (AS).

"Kekal tabah Karius, ia berlaku kepada pemain terbaik. Abaikan mereka yang membenci," tulis Salah.

Karius dikritik hebat beberapa bulan kebelakangan ini bermula dengan kesilapannya ketika Liverpool tewas kepada Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara di Kiev, 26 Mei lalu.

Dua kesilapan pada babak kedua menghadiahkan gol buat Real Madrid sekali gus membolehkan pasukan itu mempertahankan trofi ketiga berturut-turut mereka pada kejohanan itu.

Alisson Becker.

Karius yang turut melakukan kesilapan meskipun Liverpool menang 3-2 ke atas Tranmere Rovers awal bulan ini, mengakui dia tidak pasti mengenai masa depannya di Anfield susulan ketibaan bekas penjaga gol Roma, Alisson Becker.

"Sudah tentu ia tidak sesuai untuk saya tetapi saya tidak boleh komen lebih banyak mengenainya.

"Saya tidak tahu itu (sama ada dia akan meninggalkan Liverpool). Saya tidak boleh katakan apa yang saya lakukan sekarang, masih ada masa lagi," kata Karius.

Karius turut mendapat sokongan bekas penjaga gol Real Madrid Iker Casillas yang menggesa pengkritik supaya menghentikan kecaman terhadap penjaga gol kelahiran Jerman itu.

Loris Karius, Mohamed Salah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain