suria

Liga Super: Pahang terus kejar kedudukan kedua

KUALA LUMPUR: Pahang berjaya menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan untuk terus menghidupkan peluang mencabar kedudukan kedua Liga Super 2018 selepas menewaskan PKNS FC 1-0 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu malam.

Kemenangan itu membolehkan skuad ‘Tok Gajah' yang sekadar mencatat keputusan seri dalam empat perlawanan terdahulu, mengumpul 34 mata untuk berada di kedudukan ketiga sekali gus memberi tekanan kepada pencabar terdekat, Perak dengan kelebihan satu mata di tempat kedua liga.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain import dari Kanada, Issey Farran Nakajima pada minit ke-26 yang ternyata sudah cukup memadai buat pasukan Pahang untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pula menyaksikan Selangor terus ditimpa malang apabila gagal meraih kemenangan dalam lima aksi berturut-turut setelah tewas tipis 2-3 di tangan Melaka.

Pada aksi itu, skuad ‘Red Giants' berjaya mendahului dua kali menerusi gol Ilham Udin Armaiyn pada minit ke-24 dan D.Kugan pada minit ke-70.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan Selangor berjaya dimanfaatkan sepenuhnya pasukan Melaka untuk meledak tiga gol yang dijaringkan Yahor Zubovich pada minit ke-53 dan minit ke-83 sebelum Nicholas Ryan Swirad muncul wira dengan gol di penghujung babak permainan.

Sementara itu, dalam saingan Liga Premier, Sarawak menarik nafas lega apabila berjaya keluar daripada zon penyingkiran selepas mencatat kemenangan 5-2 ke atas Terengganu FC II di Stadium Negeri, Kuching.

Lima gol Sarawak disumbangkan menerusi gol sendiri Andrew Anderson Jean-Baptiste pada minit ke-34 diikuti Mateo Roskam (47'), Mohammad Dzulazlan Ibrahim (50') sebelum penyerang, Bobby Gonzales meledak dua gol pada minit ke-68 dan ke-80.

Sementara dua gol Terengganu FC II dijaringkan pemain gantian Mohammad Haidhir Suhaini pada minit ke-53 dan penyerang import dari Nigeria, Akkani Sunday Wasiu pada minit ke-73.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Felda United yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Premier musim ini bangkit dari ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 2-2 berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM, di bawah bimbingan ketua jurulatih Zulhamizan Zakariah, bermula garang apabila mendahului seawal minit pertama menerusi Mohamad Arif Mat Asin sebelum pemain tengah itu sekali lagi menyumbat gol kedua pada minit ke-22.

Felda United kemudian merapatkan kedudukan hasil sepakan penalti yang disempurnakan Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-36 diikuti gol penyamaan pada minit ke-51 menerusi Gilberto Valdenesio Fortunato.

Dalam pada itu, dua gol oleh penyerang berusia 27 tahun, Darren Lok pada minit ke-44 dan 55 membolehkan pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) melonjak naik ke kedudukan keempat liga selepas menundukkan UiTM FC 2-0 di Stadium UiTM.- Bernama

Pahang, Liga Super

Artikel Lain