suria

Klopp enggan mati sebagai jurulatih

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan hasratnya untuk berehat selama setahun selepas dia meninggalkan pasukan itu nanti.

Klopp menyertai Liverpool pada 2015 menerusi kontrak selama tiga tahun sebelum dia memperbaharui perjanjian selama enam tahun lagi, berakhir pada 2022.

Bekas pengurus Borussia Dortmund itu sebelum ini dikaitkan dengan Bayern Munich sebelum Niko Kovac dilantik sebagai ketua jurulatih mereka.

Namun, Klopp berpegang dengan pendiriannya untuk berehat seketika daripada tugas pengurusannya.

"Tidak mustahil saya akan bersara lebih awal berbanding kebiasaan jurulatih lain.

"Saya tak mahu meninggal dunia di kerusi jurulatih. Selepas Liverpool, saya akan berehat selama setahun. Itu perjanjian saya dengan ahli keluarga," ujar Klopp kepada Sky in Germany.

Klopp berhasrat untuk kekal bersama pasukan itu untuk baki kontraknya dan mengakui sukar bagi mana-mana kelab termasuklah yang gah seperti Bayern untuk mendapatkan khidmatnya.

"Saya tak pernah mempunyai 'klausa keluar' dalam mana-mana kontrak saya. Jika Bayern benar-benar mahukan saya, ia pastinya sukar.

"Kontrak saya dengan Liverpool berbaki empat tahun lagi. Pasukan saya di Liverpool pun gembira dengan saya. Itulah sebabnya Bayern pun tidak cuba untuk dapatkan saya," ujar Klopp lagi.

Dalam pada itu, Bayern memenangi kejuaraan Bundesliga keenam berturut-turut awal bulan ini dan Klopp menegaskan dia tidak berminat untuk mencabar dominasi mereka dengan bekas kelabnya, Dortmund, yang dibimbingnya memenangi gelaran liga pada 2010-2011 dan 2011-2012.

"Saya tak akan kembali lagi, masa itu terlalu baik. Saya tak akan jadi jurulatih dengan usia seperti Jupp Heynckes.

"Saya kagum dengannya tapi saya tidak akan melakukannya. Lagipun, saya rasa hebat sewaktu bersama Mainz dan Dortmund. Kemungkinan saya akan kembali ke sana, tapi tak semestinya sebagai jurulatih," ujar Klopp lagi.-SkySports

Klopp, Liverpool

Artikel Sebelum

Patrick Vieira pilihan Wenger

Artikel Lain