suria

Sukan Komanwel: Trio gimnas negara sumbang perak

Dari kiri: Koi Sie Yan, Izzah Amzan and Amy Kwan Dict Weng. Foto: GLENN GUAN/The Star

GOLD COAST: Trio gimnas negara mempamerkan persembahan memukau sekaligus memperbaiki pencapaian di Sukan Komanwel selepas meraih pingat perak di Gold Coast, Rabu malam

Malaysia yang diwakili oleh gimnas berpengalaman Amy Kwan Dict Weng dan Koi Sie Yan serta gimnas muda, Izzah Amzan mengutip 127.950 mata untuk berada di kedudukan kedua pada aksi di Coomera Indoor Sports Centre.

“Kami berjaya raih pingat perak, di situ kita dapat lihat prestasi kami sudah semakin baik berbanding di Glasgow yang hanya mendapat pingat gangsa.

“Untuk pertandingan hari ini, kami beraksi dengan bersungguh-sungguh sehingga saat akhir walaupun masing-masing ada melakukan kesilapan,” kata Amy Kwan.

Amy yang membantu skuad negara menang pingat gangsa di Glasgow, empat tahun lepas ternyata tidak menyangka beliau akan melakukan kesilapan namun ia menjadi pengajaran buatnya untuk lebih berhati-hati terutamanya aksi dalam apparatus bola dan belantan.

Pingat emas acara itu menjadi milik pasukan Cyprus yang berjaya meraih 130.625 mata manakala pingat gangsa dimenangi pasukan Australia dengan 120.800 mata.

Sementara itu, Izzah yang membuat penampilan pertama kali di Sukan Komanwel mengakui pengalaman beraksi di Gold Coast adalah sesuatu yang bermakna.  Gimnas berusia 18 tahun itu berkata beliau telah melakukan persembahan yang lebih baik berbanding di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“Secara peribadinya saya rasa saya sudah buat yang terbaik dan prestasi saya juga lebih bagus berbanding sebelum ke Gold Coast. Memang saya ada buat kesilapan kecil di awal persembahan tadi namun dapat mengawalnya,” katanya yang memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara gimrama di Sukan Komanwel adalah pada edisi New Delhi 2010 di mana Elaine Koon tampil cemerlang memenangi satu emas (gelung), satu perak (bola) dan dua gangsa (riben dan belantan).

Empat tahun sebelum itu di Melbourne pada 2006, Durratun Nasihin Rosli memenangi empat perak manakala Lim Wen Chean menyumbang dua gangsa.

Pada edisi 2014 di Glasgow, skuad gimrama negara membawa pulang satu perak menerusi Wong Poh San (riben) serta dua gangsa menerusi Poh San (gelung) dan acara berpasukan.-Bernama

Gimnas, sukan komanwel

Artikel Lain