suria

Hamidin Calon Tepat Jadi Presiden FAM

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) sebagai Presiden FAM yang baharu, selepas beliau melepaskan jawatannya itu secara rasmi pada Ahad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM pada Ahad, TMJ menyifatkan tempoh panjang perkhidmatan Hamidin bersama badan induk bola sepak negara itu menjadikan beliau sebagai calon paling tepat untuk menduduki kerusi nombor satu tersebut.

TMJ yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) bertitah pelantikan  Hamidin selaku presiden FAM juga memudahkan kerjasama di antara FAM dan Malaysian Football League (MFL) dalam mengembalikan semula imej bola sepak negara pada masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Ismail Sah Letak Jawatan Presiden FAM

"Pada pendapat saya, calon paling layak untuk menerajui FAM selepas ini adalah Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah sekian lama berkhidmat untuk bola sepak tanah air.

"Jika kita lihat FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) juga, presiden-presiden juga datang dari kalangan Setiausaha Agung kerana mereka amat memahami sistem pentadbiran bola sepak.

“Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan beliau (Hamidin) dan ini akan memudahkan lagi kerjasama di antara FAM dan Malaysian Football League (MFL)," titah beliau.

Pada masa sama, Tunku Ismail memberi jaminan bahawa pendapatan FAM akan terjamin sekiranya Hamidin dipilih oleh anggota gabungan sebagai presiden baharu.

"Jika beliau (Hamidin) dipilih sebagai presiden oleh ahli gabungan, saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau dan memastikan pendapatan FAM terjamin. Saya berharap semua ahli gabungan akan menyokong beliau sebagai Presiden FAM," titah beliau.

Dalam pada itu, beliau mengesyorkan Timbalan Presiden FAM Datuk Yusof Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden sehingga kongres ke-64 FAM berlangsung pada Julai depan. - Bernama

FAM, TMJ

Artikel Lain